Kerugian dana KWAP: PM sokong SPRM jalankan siasatan
- Akmal Manaf

- 22 hours ago
- 2 min read

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, perlu dijalankan secara telus tanpa sebarang perlindungan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau telah bertemu pengurusan KWAP dan mengarahkan supaya kerjasama sepenuhnya diberikan sepanjang siasatan berlangsung.
"SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya. Saya sudah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan harus beri kerjasama sepenuhnya.
"... walaupun melihat kepada laporan awal saya tidak percaya ada unsur-unsur begitu, tapi ikut prosesnya harus telus dan bertanggungjawab.
"Siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada keterlanjuran atau percanggahan dari segi hukum atau unsur rasuah," katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berkaitan strategi bagi memastikan tabung persaraan negara, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
Tegas Anwar lagi, memandangkan pelaburan itu melibatkan kepentingan awam, maka kerajaan tidak boleh berselindung mengenai keputusan yang telah diambil.
"Pelaburan sekitar RM160 juta itu saya pilih untuk umumkan, kerana wang itu merupakan dana persaraan," ujar beliau.
Untuk rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman semalam memaklumkan, agensinya menubuhkan sebuah pasukan siasatan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta membabitkan pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.
Dalam perbahasan lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika melihat kepada proses kelulusan dana pelaburan ke atas syarikat eFishery sebelum ini, ia seolah-olah menyaksikan satu kejadian luar biasa.
Katanya, tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan pelaburan ke syarikat berkenaan yang menjadikan 'penipuan' itu pada skala luar biasa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan, sebelum ini pun skandal 1Malaysia Development Berhad mendapat pengesahan syarikat audit terkenal dunia, namun kemudian terbukti wujud persekongkolan dalam usaha penipuan.




Comments