Oleh: Abdullah Zaid
Peningkatan jumlah kenderaan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan motorsikal di Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) untuk 2022 sahaja direkodkan sejumlah 4,101 penunggang motorsikal telah maut dalam kemalangan jalan raya.
Sehubungan itu, beliau melakukan pemantauan laluan motorsikal di kawasan parlimennya dan mendapati punca kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan kecil itu boleh dielakkan sekiranya kualiti laluan yang digunakan sering dipantau.
"Banjir (kilat), jalan berlubang dan tidak berturap antara yang menyumbang keadaan laluan motorsikal menjadi merbahaya.
"Oleh itu, saya ingin bertanya apakah garis panduan dan piawaian terkini yang digunakan untuk merekabentuk dan menyelenggara laluan motorsikal, selain perancangan terperinci kerajaan untuk penaiktarafan infrastruktur laluan lebuh raya motorsikal, agar ianya lebih selamat dan sistematik untuk pengguna," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat kelmarin.
Perbahasan itu antara lain bagi meminda RUU bagi memperkasakan fungsi LLM termasuk pindaan Seksyen 11 yang memperuntukkan LLM sebagai penasihat Kerajaan Persekutuan dalam hal-hal lebuhraya, membentuk dan memantau piaiwaian jalan raya.
Dari segi perkhidmatan bas pula, kata Chean Chung, difahamkan LLM sukar memberi kebenaran untuk mendirikan perhentian bas sepanjang Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) sekali gus menyukarkan operator perkhidmatan bas awam di laluan berkenaan.
Beliau juga menyarankan agar bas awam dikecualikan daripada bayaran tol
Selain itu, beliau mahu kerajaan lebih bersifat terbuka dengan projek-projek berkepentingan awam termasuk faedah dan impak yang terhasil akibat pelaksanaan projek tersebut.
"Saya berharap kerajaan akan lebih sistematik menanggapi isu-isu berkenaan lebuh raya, selain memperkasa pengangkutan dan kemudahan jalan raya agar ianya dapat memberi manfaat yang maksimum kepada pengguna," katanya lagi.
Comments