Kerjasama UMNO-Pas: Ahli Pas mula resah, sokongan, derma dipergunakan - Mahfuz
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 3 min read

Perubahan pendirian Pas terhadap UMNO dalam Pilihan Raya Negeri Johor dipersoalkan banyak pihak, terutama yang mengikuti perjalanan politik parti itu dan kerjasama dengan UMNO serta fatwa hukum bekerjasama yang berlainan dalam tempoh beberapa tahun.
Bagi bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar (gambar), fatwa berlainan diberikan pemimpin Pas terutama ketika bersama UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022) kemudian menjadi musuh politik, dan kini pada 2026 mengarahkan ahli Pas mengundi BN di Johor yang amat kontradik.
Beliau mengimbau perjuangan Pas sebelum 2020 yang memusuhi UMNO kerana dakwaan kebejatan moral anggota parti berkenaan, namun boleh pula menjalinkan kerjasama tanpa kebejatan itu disingkirkan terlebih dahulu.
"Saya bukan kenal Pas melalui Facebook atau cerita orang. Saya hidup lama dalam Pas. Saya pernah memimpin Pemuda Pas Pusat, menjadi Ketua Penerangan dan Naib Presiden. Saya naik dari satu pentas ke satu pentas, berceramah melawan UMNO dan meminta orang kampung menderma untuk perjuangan," katanya Mahfuz dalam kenyataan.
Menurut beliau, penyokong Pas ketika itu menghulurkan sumbangan dengan penuh kepercayaan bahawa parti berkenaan mempertahankan prinsip perjuangan Islam melawan rasuah, kezaliman dan politik wang.
"Kami tidak pernah berkata, “Derma ini untuk strategi politik. Hari ini UMNO musuh, esok kalau kiraan kerusi berubah, UMNO boleh menjadi kawan.” Tidak. Kami bercakap tentang Islam, jihad dan pengorbanan. Orang kampung memberi kerana percaya kepada prinsip yang kami ajarkan kepada mereka," katanya.
Mahfuz mengakui beliau turut bertanggungjawab kerana pernah menyampaikan mesej sedemikian kepada masyarakat, namun menegaskan kepimpinan Pas hari ini tidak seharusnya mengabaikan sejarah perjuangan tersebut.
"Berapa ramai tok guru, ustaz, pemimpin kawasan, ketua cawangan dan ahli biasa Pas yang sudah meninggal dunia dengan keyakinan bahawa melawan UMNO adalah sebahagian daripada mempertahankan perjuangan Islam? Mereka pergi sebelum sempat diberitahu bahawa UMNO yang dahulu wajib ditolak, hari ini diminta dipangkah pula atas nama penyatuan ummah," katanya.
Beliau mendakwa, kebelakangan ini ramai ahli Pas menghubunginya secara peribadi kerana keliru dengan pendirian semasa parti itu.
"Ramai ahli Pas menghubungi saya secara peribadi. Ada yang kecewa, ada yang keliru dan ada yang malu hendak bertanya secara terbuka. Mereka bukan membenci Pas, tetapi mereka mula takut Pas yang mereka pertahankan dahulu sudah tidak sama dengan Pas yang sedang mereka lihat hari ini," katanya.
Mahfuz turut mempersoalkan sama ada perubahan berlaku pada UMNO atau Pas, sambil menggesa kepimpinan parti itu menjelaskan rasional kerjasama politik yang dijalinkan di Johor.
"Apa sebenarnya yang sudah berubah? UMNO yang berubah, atau PAS yang berubah?" tanyanya.
Naib Presiden AMANAH itu menegaskan, beliau tidak mempertikaikan kerjasama politik antara Pas dan UMNO namun berkata perubahan itu perlu dijelaskan secara telus tanpa menggunakan hujah agama untuk menghalang perbahasan.
"Politik memang boleh berubah. Saya sendiri hari ini berada dalam kerajaan bersama UMNO. Bezanya, saya tidak mengatakan UMNO sudah menjadi parti suci. Saya juga tidak menjadikan kerjasama politik hari ini sebagai hukum agama yang wajib diterima oleh semua orang."
Mahfuz berkata, ahli Pas berhak mendapat penjelasan kerana mereka telah menyumbang wang, tenaga dan sokongan berdasarkan prinsip yang diperjuangkan parti itu sebelum ini.
"Saya pernah mengangkat tabung itu. Saya pernah meminta orang kampung berkorban. Sebab itu saya bertanya dengan hati yang berat, adakah kami dahulu benar-benar mengajak rakyat mempertahankan satu prinsip, atau agama hanya digunakan selagi ia menguntungkan politik Pas?" katanya.
Tegas Mahfuz, duit yang masuk ke dalam tabung itu mungkin kecil namun amanah di belakangnya sangat besar. Katanya, sebahagian daripada ahli yang menghulurkannya sudah tidak ada lagi.
"Kalau pimpinan Pas hari ini juga tidak mampu menjawab, jangan marah apabila ahli mula bertanya: adakah dahulu mereka benar-benar mempertahankan perjuangan, atau mereka sebenarnya sedang dipergunakan," kata Mahfuz lagi.



Comments