top of page

Kerjasama serantau perlu bendung ancaman siber - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
17 hours ago
2 min read

Malaysia menggesa negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) memperkukuh kerjasama pertahanan siber bagi menghadapi ancaman serangan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih dan berpotensi melumpuhkan infrastruktur kritikal merentasi sempadan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan pesat AI bukan sahaja mengubah landskap ekonomi global, malah membuka ruang kepada pihak yang berniat jahat menggunakan teknologi lebih canggih untuk melancarkan serangan siber.


Beliau berkata, gelombang serangan siber di seluruh dunia menunjukkan kemunculan norma baharu yang berbahaya dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melalui tadbir urus antarabangsa serta serantau.


"Gelombang serangan siber yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini menggambarkan norma baharu yang berbahaya, sekali gus membuktikan bahawa usaha mengelakkan krisis pada masa hadapan memerlukan tadbir urus antarabangsa dan serantau yang mantap serta langkah perlindungan berkesan," katanya.


Kenyataan itu disampaikan menerusi teks ucapan beliau pada Mesyuarat EAS ke-21 di Manila, Filipina, yang berlangsung pada 17 November.


Ucapan berkenaan dibacakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika Anwar berada di Kuala Lumpur bagi menyambut ketibaan


EAS perlu jadi platform tindakan bersama


Anwar turut menyeru pemimpin EAS memperbaharui komitmen terhadap forum berkenaan sebagai platform dialog strategik, selain memastikan saluran komunikasi antara negara anggota kekal terbuka.


Menurut beliau, kerjasama serantau perlu diperkukuh bagi memastikan negara-negara terlibat mempunyai keupayaan menghadapi ancaman keselamatan baharu yang tidak lagi terhad kepada sempadan sesebuah negara.


Sidang Kemuncak EAS ke-21 menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama rakan dialog termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.


Forum itu menjadi platform perbincangan mengenai isu strategik, politik dan ekonomi serantau.


Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin EAS turut menerima pakai kenyataan bersama mengenai pengukuhan kerjasama membanteras penipuan dalam talian dan jenayah berkaitan.


Kenyataan itu menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan bagi menangani ancaman penipuan digital yang semakin kompleks, termasuk perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan antara negara.


Usaha itu memperlihatkan kepentingan tindakan bersama dalam menangani ancaman digital yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna, kestabilan ekonomi dan kepercayaan terhadap ekosistem digital.


Malaysia berpandangan bahawa pengukuhan pertahanan siber perlu bergerak seiring dengan tadbir urus teknologi yang berkesan bagi memastikan kemajuan AI dimanfaatkan untuk pembangunan, bukannya disalahgunakan sehingga mengancam keselamatan serantau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page