Kerjasama PN-BN: Pas akan dominan, tentukan hala tuju?
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Kerjasama Pas dan Barisan Nasional (BN) bakal menguji sejauh mana kedua-dua parti sanggup berkompromi apabila Pas dilihat mahu mempertahankan penguasaan di kawasan yang dimenanginya, selain kekal dengan pendirian mengangkat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri dari PN-BN.
Naib Pengerusi KEADILAN Terengganu, Datuk Azan Ismail berkata, kerjasama dengan BN dilihat sebagai antara usaha Pas untuk memperkukuhkan peluang kembali menguasai Kerajaan Persekutuan, selepas parti itu sebelum ini melalui beberapa bentuk kerjasama politik dengan parti lain.
Beliau berkata, Pas menyedari bahawa usaha untuk kembali menjadi kerajaan secara bersendirian adalah mustahil, justeru kerjasama dengan BN dilihat sebagai platform untuk mencapai matlamat tersebut.
Hal itu membungkam cita cita Umno-BN yang ingin kembali seperti 2018, menguasai Kerajaan Persekutuan dengan presidennya diangkat sebagai Perdana Menteri.
"Pas sudah cuba (bekerjasama menerusi) Muafakat Nasional (MN), Pakatan Rakyat (PR) dan segala macam mereka sudah cuba. Kalau mereka bersendirian, memang tak boleh (bentuk kerajaan).
"Maka sekarang ini yang belum dicuba ialah betul-betul bekerjasama secara mantap dengan BN. Motif (Pas) adalah untuk menggunakan BN sebagai batu loncatan.
"Maksudnya sesiapa yang menyertai (bekerjasama) dengan Pas, mestilah duduk di bawah Pas, bukan Pas bergabung dengan orang lain untuk mengangkat orang itu ke atas.
"Pas dari dulu lagi (seperti itu) termasuk dalam PR, Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sama juga memberi alasan bahawa Pas ini kuat tapi Pas tak cukup untuk menjadi kerajaan apatah lagi bersendirian sebab banyak faktor," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas mengenai pendirian Pas untuk mempertahankan semua kerusi DUN dan Parlimen yang dimenanginya pada PRU15, Azan berkata, Pas sudah berterus terang menyatakan bahawa kerusi yang dimenanginya tidak akan diserahkan kepada rakan kerjasama untuk ditandingi.
Justeru katanya bagi negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang, kerusi yang dimenangi Pas dijangka tidak akan menjadi ruang untuk ‘bertolak ansur’ atau diserahkan kepada parti lain untuk bertanding.
"Pas ini parti politik, bukan parti agama, jadi Pas tidak mungkin berganjak daripada keputusan berkenaan.
"Jika PN menang, calon Perdana Menteri dalam komponen itu adalah Ahmad Samsuri, bukannya Ahmad Zahid. Maksudnya, BN memang mahu menamakan Zahid sebagai Perdana Menteri tetapi apabila bergabung dengan PN, Pas akan berkeras dengan presidennya, begitu juga BN akan berkeras dengan presidennya.
"Jadi, persoalannya ialah siapa yang akan bertolak ansur dalam perkara ini. Jawapannya Pas sudah menunjukkan pendirian bahawa mereka tidak akan bertolak ansur. Tunggu dan lihat sajalah," katanya lagi.




Comments