Kerjasama PN-BN ibarat Titanic, rebut kuasa, tunggu masa karam


Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana dibayangi pengkhianatan serta ketiadaan nilai politik persahabatan, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh (gambar).
Beliau berkata kerjasama kedua-dua gabungan itu tidak akan kekal lama kerana setiap pihak mempunyai cita-cita sendiri sehingga sanggup menjatuhkan rakan kerjasama demi kepentingan politik masing-masing.
"Saya ingatkan... supaya tidak risau atau teruja melihat kerjasama antara BN dan PN.
"Kerjasama itu tidak akan kekal lama kerana ia dibayangi dengan pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Hannah berkata demikian ketika turun berkempen di Kuala Klawang malam tadi bagi membantu calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Klawang, Datuk Ir. Haji Bakri Sawir yang mempertahankan kerusi berkenaan.
Hannah berkata, kerjasama BN dan PN boleh diumpamakan seperti kapal Titanic yang kelihatan gah pada awal pelayaran tetapi akhirnya karam selepas melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat di hadapan.
"Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan.
"Masing-masing bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang hanyalah pucuk masing-masing. Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini," katanya.
Hannah yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata beliau mengangkat tema "politik persahabatan" dalam ucapannya dengan mengimbas kekuatan dan kelemahan parti-parti dalam HARAPAN yang terus mengikat kerjasama mereka sehingga hari ini.
Beliau berkata, HARAPAN telah membuktikan kesetiaan dalam kerjasama antara KEADILAN, AMANAH dan DAP sehingga berjaya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
"Kesetiaan kami pada kerjasama ini telah terbukti. Kami HARAPAN – KeADILan, AMANAH dan DAP – setia berjuang dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 hari ini.
"Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda," katanya.
Beliau berkata, kemenangan calon-calon HARAPAN dalam pilihan raya merupakan simbol mempertahankan nilai politik persahabatan yang menjadi asas kerjasama gabungan itu.
"Memenangkan calon-calon HARAPAN adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan. Ia yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan.
"Kekalkan HARAPAN, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini," katanya.




Comments