Kerjasama PH-GRS lebih diyakini, peluang menang amat cerah
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Baharu sehari selepas DUN Sabah diumumkan bubar semalam, suhu panas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah atau PRN Sabah ke-17 sudah pun mula terasa, meskipun tarikh pengundian belum lagi diumumkan.
Semua ini seperti menjanjikan PRN kali ini lebih hangat daripada biasa.
Penuh warna warni dengan menampilkan watak-watak sampingan yang penuh drama serta gelagat tersendiri.
Tidak lama selepas DUN dibubarkan, lima ADUN daripada Parti Solidariti Tanahair atau STAR telah mengumumkan menyertai GRS.
STAR sebelum ini adalah ahli gabungan GRS tetapi membuat keputusan keluar kerana ingin bertanding solo menggunakan logo sendiri.
Pertandingan lebih tiga penjuru
Lima ADUN berkenaan berkemungkinan akan bertanding semula dengan menggunakan tiket GRS, manakala STAR pastinya akan meletakkan calon pilihan mereka sendiri di kawasan tersebut.

Ertinya, dengan GRS hanya bekerjasama dengan PH, tetapi tidak dengan UMNO-BN, keberangkalian pertandingan lebih daripada tiga penjuru akan berlaku di banyak kawasan.
Warisan sudah mengumumkan akan meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN, manakala UMNO dan GRS akan bertembung sesama sendiri di banyak kawasan. Ini pasti tidak dapat dielakkan.
Hanya di kawasan di mana PH dan GRS bertanding sahaja tidak berlaku pertandingan sesama sendiri.
Jangkaan awal memperlihatkan dengan berlakunya pertandingan banyak penjuru itu, termasuk diramalkan ramai calon Bebas akan turut mencuba nasib, ia adalah situasi yang memberi kelebihan kepada PH dan GRS.
Pengundi mahu kestabilan
Dengan kedua-duanya merupakan peneraju kerajaan - PH mengetuai kerajaan di peringkat pusat dan GRS mengetuai kerajaan di negeri - pengundi dijangka lebih selesa memberi undi kepada kedua-duanya.
Pengundi yang mahukan kestabilan tentu saja akan memilih parti yang sedang mengetuai sebagai pilihan mereka.
Lagi ramai calon bertanding, lagi cerah peluang PH dan GRS untuk mencipta kemenangan bergaya.
Tambahan lagi, dengan PH dan GRS dalam kerajaan, memilih kedua-duanya bermakna rakyat akan mendapat manfaat berganda untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam memberi undi, rakyat pastinya akan memilih parti yang boleh memberi untung kepada mereka.
Berbanding semua parti dan calon Bebas, hanya PH dan GRS yang menjanjikan rakyat tidak rugi.









Comments