Kerjasama PH-BN kukuh, tekad menang di PRK Ayer Kuning
- Redzuan Shamsudin
- Apr 19
- 1 min read

Kerjasama Pakatan Harapan (PH), khususnya parti AMANAH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning setakat ini amat baik dengan pelbagai program kempen dijalankan bersama.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, hal itu diharapkan bakal membawa keputusan positif pada hari pengundian kelak.
Beliau menyatakan demikian ketika meluangkan masa bersantai bersama para petugas PRK Ayer Kuning dalam satu majlis makan malam, semalam.
"AMANAH komited memastikan semua (PDM) yang diamanahkan digerakkan sepenuhnya dengan strategi dan semangat juang demi kemenangan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam muat naik di Facebook.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Barisan Nasional Negeri Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah serta pimpinan BN Perak. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan iltizam PH-BN.

Sebelum itu, dalam lawatan sehari Dr Mujahid pada Jumaat beliau turut mengiringi Calon Barisan Nasional PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir dalam program Taqarrub Perak Sejahtera 2030.
Program tersebut merupakan wadah penting untuk menjelaskan dasar pembangunan negeri sambil memperkukuh kerjasama antara pimpinan dan rakyat di akar umbi.
Comments