
Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri akan terus diperkukuh demi kelangsungan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
Jaminan itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui catatan di laman Facebooknya susulan kunjungan hormat oleh pemimpin serta Menteri Besar (MB) Pahang dan Perak semalam.
Pada sebelah pagi, Anwar menerima kunjungan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi kerajaan negeri.
Pertemuan itu jelas Anwar menyentuh perihal aspek pembangunan serta kemajuan dan kemakmuran negeri Pahang.
"InshaAllah, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Pahang akan terus dipererat demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat Pahang khususnya," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menerima kunjungan hormat delegasi negeri Perak yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan delegasi Kerajaan Negeri Perak.

Kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak jelas Anwar akan terus dipererat terutamanya dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri Perak.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kedua-dua negeri membentuk kerajaan secara perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Walau bagaimanapun Perdana Menteri dalam lawatan rasmi kerja ke Kelantan pada 21 Disember lalu menegaskan kerajaan pimpinannya akan tetap menjunjung semangat federalisme dan tidak akan meminggirkan negeri yang ditadbir oleh pembangkang.