Kerjasama munafik: 'Pemimpin PN dengki tidak jadi kerajaan bersama PH'
- Redzuan Shamsudin
- Oct 2, 2023
- 2 min read

Ungkapan kerjasama munafik yang dinyatakan oleh Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ke atas kerajaan gabungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN timbul akibat perasaan iri hati.
Menurut Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Armada itu jelas tidak puas hati apabila menyindir kerjasama antara 'anak murid dan cikgu' itu dirancang bersama kedua dua tokoh berkenaan.
"(Dalam hal ini) saya pun hairan. Kalau betul kerjasama antara anak murid dan cikgu, saya tak faham kenapa dia kata munafik?
"Saya nak kata kepada Mat Jargon (Ahmad Fayhsal) yang sehari dua masuk politik. Dalam peristiwa pemecatan Anwar pada 2 September 1998, di kediaman rasmi TPM pada waktu itu, hanya seorang menteri yang hadir untuk menyatakan sokongan kepada Anwar. Orang itu adalah Muhyidin Yassin (Pengerusi PN sekarang)
"Sebenarnya Muhyiddin ialah antara menteri kabinet yang dipercayai oleh Anwar dan dia tak takut untuk datang menyatakan sokongan padu kepada Anwar walaupun Anwar ketika itu berperang dengan Tun Mahathir, yang semua orang tahu paling diktator, yang dikenali sebagai maha zalim
"Ini Mat Jargon tak tahu kerana baru masuk politik," katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.
Tegas Lokman, Muhyiddin merupakan anak didik Anwar dan sering dibantu oleh mantan TPM itu dalam kerjaya politik beliau bersama Team Wawasan.
Malah kedudukan Muhyiddin pada waktu itu lebih kanan daripada Zahid Hamidi yang hanya Ketua Pemuda UMNO.
Menurut Lokman, sekiranya dalam pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada November 2022 lalu Muhyiddin dikurniakan Tuhan kebijaksanaan politik maka beliau tidak akan menolak tawaran untuk bersama 'gurunya'.
"Kalaulah hari tersebut Muhyiddin tidak dikurniakan kebodohan, kalau Allah taala kurniakan kebijaksanaan kepada Muhyiddin ... parti kau hanya dapat nombor 2 kerusi terbanyak, nombor satu PH.
"Kalau ketika itu dia fikir tentang Islam, orang Melayu, dapat TPM pun tak apa janji ini kerajaan ada 2/3 Melayu Islam.
"73 Ahli Parlimen PN campur 29 Ahli Parlimen Islam dalam PH makanya ada 103 orang Islam, hanya 53 bukan Islam.
"Kalau ketika itu Muhyiddin fikir tentang Islam dulu, Melayu dulu berbanding dengan nafsu dia nak menjadi PM, saya nak tanya Mat Jargon, adakah dia akan kata kerjasama antara PN dan PH kerjasama munafik?
"Jadi cakap itu biarlah pakai otak sikit. Jangan cakap sesuka hati," katanya lagi.
Dalam ceramah di Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai semalam, Ahmad Fayhsal menuduh kerjasama PH dan BN sebagai munafik dan mahu ahli akar umbi UMNO membantah kerjasama itu dengan memberikan undi kepada PN pada hari pengundian pada Sabtu ini.
Comments