Kerjasama antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin belum sesuai ke tahap parti itu menyertai PH sebagai komponen ke-5.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, pelbagai faktor menjadi beban untuk meneruskan niat MUDA menganggotai PH termasuk sikap parti itu yang seolah olah menikam PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Kata Razeef, sepanjang PRN itu laman media sosial MUDA pernah memuat naik poster “Hentikan Korupsi” dengan memaparkan logo KEADILAN dan PH seolah dua entiti memberi dan menerima rasuah, di samping mendakwa ADUN Ulu Tiram dari KEADILAN pada ketika itu sebagai tidak amanah.
Oleh itu, Razeef berpandangan MUDA lebih baik menjadi sekutu PH dengan DAP dan Amanah memberikan kerusi mereka kepada parti berkenaan berbanding sebagai ahli komponen.
"Saya berpandangan pada peringkat ini lebih baik kerjasama itu dijalin di luar PH. Jika DAP dan Amanah ingin berkerjasama dengan Muda, teruskan.
"DAP dan Amanah boleh serahkan kerusi mereka kepada MUDA selepas rundingan agihan kerusi selesai antara parti komponen PH," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Razeef juga mempersoalkan kenyataan Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien yang masih mengharapkan kerjasama dengan Warisan ketika MUDA ingin bersama PH.
Katanya, PH tidak mungkin akan menjalinkan kerjasama dengan Warisan yang jelas telah memutuskan hubungan dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti itu baru-baru ini.
"MUDA perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang.
"Malah status MUDA dengan Pejuang sehingga hari ini masih belum ada noktah dari MUDA,” tambah Razeef lagi.
Comments