Kerjasama KEADILAN-Bersatu cuma spekulasi – Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 1 min read

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) menolak kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjalinkan kerjasama politik dengan KEADILAN.
Menerusi satu sidang media bersempena Kongres KEADILAN Nasional 2026 di Melaka semalam, beliau menyifatkan desas-desus tersebut sebagai spekulasi tidak berasas.
Malah menurutnya, khabar angin tersebut tidak boleh dijadikan asas kepada penjajaran politik atau bentuk kerjasama antara parti.
"Spekulasi," katanya dipetik pemberita.
Spekulasi mendakwa akan berlaku kerjasama antara parti itu timbul susulan ungkapan istilah ‘sahabat’ dan ‘teman’ digunakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merujuk beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, Datuk Borhan Aman Shah sebelum ini berkata, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.
Beliau berkata, MPN Selangor setakat ini tidak pernah membincangkan sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.
"Kita serah kepada pucuk pimpinan pusat (MPP). Setakat ini tidak dibincang di peringkat MPN Selangor," katanya dipetik.




Comments