Kerjasama erat Sabah-Persekutuan kunci pembangunan – George Hiew
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Calon KEADILAN bagi kerusi N54 Karamunting, Datuk George Hiew (gambar), menegaskan komitmennya untuk meneruskan kesinambungan usaha Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan membangunkan Sabah sekiranya diberikan mandat semula pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU Dun) Sabah ke-17.
Beliau menyifatkan pencalonannya sebagai peluang untuk terus berkhidmat serta memajukan rakyat Karamunting.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan ini. Saya sekali lagi diberi peluang untuk mewakili rakyat Karamunting," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ahad.
Mengulas mengenai masa depan Sabah, jelas negeri tidak boleh bergerak sendirian tanpa kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau yakin hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan, isu-isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya yang membelenggu rakyat di negeri itu mampu diselesaikan secara menyeluruh.
"Langkah Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah adalah tertinggi dalam sejarah dan menjadi bukti kesungguhan kerajaan pusat terhadap pembangunan negeri itu.
"Kita perlukan Ketua Menteri yang kuat dan Perdana Menteri yang memahami Sabah — dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikannya," katanya.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai sokongan pengundi, George yakin rakyat Karamunting kekal bersama KEADILAN berasaskan khidmat berterusan yang telah diberikan.
"Saya bukan wakil rakyat bermusim. Selama tujuh tahun, saya telah memasang lebih seribu lampu jalan, membantu menyelesaikan isu tanah di tiga kampung besar dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan rakyat," tambah beliau.





