Kerjasama ASEAN, China, GCC bentuk masa depan lebih makmur
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang pertama kali diadakan di Kuala Lumpur diharap menjadi satu fasa perjalanan baharu pertubuhan serantau itu untuk terlibat secara terbuka di tengah pelbagai cabaran dihadapi antara negara terbabit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, banyak pencapaian boleh dilakukan apabila mereka bekerjasama dengan semangat saling menghormati bagi tujuan bersama.
"Walaupun terdapat pelbagai cabaran, saya yakin ASEAN, GCC dan China dapat memanfaatkan kekuatan unik masing-masing dan membentuk masa depan, lebih berdaya tahan dan makmur untuk generasi akan datang.
"ASEAN telah lama membuktikan bahawa semangat serantau yang berpaksikan konsensus, hormat dan keterbukaan mampu berjaya," kata Anwar dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak tiga hala tersebut di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah yang juga Presiden Majlis Tertinggi GCC dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Sidang Kemuncak itu bertema “Menyelaras Peluang Ekonomi ke Arah Kemakmuran Bersama”
Perdana Menteri berkata buat pertama kalinya, ASEAN, GCC dan China berkumpul dalam konfigurasi yang unik ini – tiga rakan kongsi yang kaya dengan sejarah, tamadun, budaya dan aspirasi bersama – berhimpun untuk membuka lembaran baharu dalam dialog dan kerjasama.
"Walaupun pelbagai bentuk kerjasama dan mekanisme sedia ada telah terjalin dengan kukuh, format ini mewujudkan ruang baharu untuk kerjasama apabila kita meneroka jalan untuk menyatukan kekuatan masing-masing," ujarnya.
Menguak sejarah rantau ini dengan China dan Arab, Anwar berkata hubungan mendalam daripada laluan sutera purba hingga ke jaringan maritim yang rancak di Asia Tenggara serta koridor perdagangan moden, “rakyat kita telah lama berhubung melalui perdagangan, budaya dan pertukaran idea.”
Kata beliau pusat-pusat perdagangan seperti Melaka berperanan menghubungkan Timur dan Barat serta mempamerkan kekuatan keterbukaan, pertukaran dan kesalinghubungan strategik.
"Hari ini, ASEAN meneruskan legasi tersebut pada skala yang lebih luas, muncul sebagai simpang dinamik dalam perdagangan global, inovasi dan peluang," jelasnya.
Pada 2023, pertumbuhan ASEAN mencecah AS$3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia dan pada tahun yang sama, jumlah perdagangan dengan GCC mencecah AS$130.7 bilion, dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak AS$390.2 juta, menurut Anwar.
China pula kekal sebagai rakan dagangan terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$696.7 bilion dan FDI sebanyak AS$17.3 bilion.
ASEAN, GCC dan China secara kolektif mewakili gabungan pertumbuhan sebanyak AS$24.87 trilion dan populasi sekitar 2.15 bilion, kata beliau.
"Skala kolektif ini menawarkan peluang luas untuk menyelaras pasaran kita, memperkukuh inovasi dan menggalakkan pelaburan rentas wilayah.
"Dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang ini, kita boleh meletakkan asas kepada pertumbuhan yang stabil, berdaya tahan dan mampan," kata Anwar lagi.