
Penganjur program Keretapi Sarong menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi menjadikan program itu sebahagian aktiviti Bulan Kebangsaan tahun hadapan.
Pengarah program berkenaan, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung perkara itu.
"InshaAllah sekiranya niatnya untuk membawa perpaduan ke tahap lebih tinggi, kami terbuka untuk bekerjasama dan menerima cadangan daripada mana-mana pihak kerana acara ini acara rakyat dan (penganjur) akan kembali kepada orang ramai yang telah menjayakannya dari awal," katanya dipetik Bernama.
Fahmi pada Sabtu menyatakan hasrat menjadikan program Keretapi Sarong sebagai antara aktiviti sempena Bulan Kebangsaan tahun hadapan setelah program itu mendapat sambutan memberangsangkan dari peserta pelbagai kaum dan usia.
Langkah mempromosi acara itu ke peringkat nasional adalah sebagai usaha untuk mempelbagaikan program Bulan Kebangsaan supaya ia tidak terhad melibatkan kibar Jalur Gemilang sahaja.
Program Keretapi Sarung dianjurkan LOCCO, sebuah organisasi yang mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong yang diadakan sejak 2017.
Pada Sabtu, acara itu sekali lagi diadakan dengan membawa tema 'Etnik dan Perpaduan' bertujuan menyemai semangat cintakan negara walaupun dalam kepelbagaian, sempena sambutan Hari Malaysia.
Acara yang berlangsung serentak di lima bandar utama iaitu Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di Battersea Power Station (London, United Kingdom).
Di Kuala Lumpur sahaja ia berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 orang peserta yang hadir mengenakan pelbagai jenis kain sarung dan pakaian tradisional selain menggunakan pengangkutan awam terutamanya transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan KTM Komuter.