Ekonomi 'boom', rakyat selesa, mengapa perlu 'Turun Anwar'?
- Suara Keadilan

- Jul 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang perlu memainkan peranan yang lebih konstruktif sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan dengan bersikap lebih proaktif serta mengemukakan hujahan yang membina dan bermakna.
Demikian reaksi Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Nabil Halimi (gambar) ketika diminta mengulas mengenai desakan pembangkang Perikatan Nasional (PN) agar Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Perdana Menteri (PM) dalam kempen 'Turun Anwar' yang tidak mendapat sambutan.
Katanya, lebih baik pembangkang memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang lebih efektif, sekali gus memastikan mereka turut menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara berbanding berdemo mahu kerajaan ditumbangkan.
''Saya yakin Malaysia dalam landasan yang baik dan akan bertambah baik dalam jangka masa akan datang ini.

''(Pertumbuhan ekonomi positif) merupakan bukti dan hasil komitmen keras Kerajaan MADANI dalam memastikan ekonomi Malaysia berkembang dengan baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran luar.
''Ini bukti bila mana sesebuah kerajaan itu fokus dalam usaha menstabilkan dan memacu ekonomi negara dengan baik, ia akan mendatangkan hasil kepada rakyat,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan baik ekonomi negara dengan mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 5.1% pada 2024 berbanding 3.1% pada 2021 era pemerintahan PN; kadar pengangguran 3% (2024) berbanding 4.6% (2021); Pelaburan Langsung Asing RM379 bilion (2024) berbanding RM30 bilion (2021); dan kadar inflasi 1.8% (2024) berbanding 2.5% (2021).
Mengulas lanjut, Nabil yang juga Ketua AMK Petaling Jaya menyifatkan, rakyat faham dengan indikator terbaharu mengenai ekonomi, inflasi, peluang kerja dan sebagainya. Oleh itu mereka enggan turun beramai ramai dalam demonstrasi Turun Anwar.
Tegas beliau, rakyat terbanyak mahukan kerajaan yang stabil dan komited dalam memacu ekonomi Malaysia ke depan, bukannya 'sibuk' ingin menebuk atap menukar kerajaan.
''Kini kita berada dalam era digitalisasi dan saya yakin rakyat bijak untuk menilai,'' katanya lagi.
Untuk rekod, pembangkang PN mengumpul beberapa isu kecil kehakiman dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam kempen ke seluruh negara untuk mendesak PM meletak jawatan.
Malangnya, pembangkang tidak pula mengetengahkan calon PM yang lebih baik berbanding Anwar, hanya mengekalkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang tidak ada rekod baik sebagai PM sebagai satu satunya calon.









Comments