top of page

AS-China: Tiada inginkan sengketa, diplomasi masih terbuka - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 9
  • 2 min read

PM Anwar menyuarakan keperluan kuasa besar mendengar suara negara negara membangun
PM Anwar menyuarakan keperluan kuasa besar mendengar suara negara negara membangun

Ketegangan yang timbul antara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung isu Taiwan dijangka tidak akan merebak kepada peperangan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sebagai sikap Malaysia, sama ada di forum antarabangsa atau dalam temubual media ketika menghadiri lawatan di tiga negara baru baru ini.


Menurut Anwar, di sebalik retorik menuju sengketa ketenteraan sekiranya Taiwan mengisytihar kemerdekaan atau China merebut kembali wilayahnya itu secara paksa, kedua dua kuasa nuklear berkenaan tetap mahu mengelakkan perang.


"Saya tidak bersikap pesimis merujuk kepada hubungan antara Amerika Syarikat dan China.


"Dalam pertemuan dan maklum balas yang saya peroleh, termasuk dari Presiden Rusia Vladimir Putin, saya berkeyakinan bahawa kedua-dua pihak masih waras dan mahu mengelakkan pertembungan. Meski wujud ketegangan geopolitik, khususnya melibat Taiwan, saya percaya ruang diplomasi dan rundingan masih terbuka luas.


"Justeru, kenyataannya jelas bahawa tidak siapa sebenarnya mahu perang. Malah, ketika era (Presiden AS) Trump sekalipun, saya dapati pendekatannya tidak mendorong kepada peperangan terbuka," katanya dalam muat naik di Facebook.


Tidak menafikan retorik politik yang keras antara kedua dua negara, Anwar menegaskan terdapat niat luhur pemimpin dunia untuk mengekalkan kestabilan dan mengelak bencana serta musibah yang akan merugikan semua pihak.


Bagi negara membangun, katanya, ada peranan untuk mengimbangi persengketaan kuasa besar dunia.


"Sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya melihat keperluan untuk negara-negara membangun memainkan peranan sebagai suara penimbang tara.


"ASEAN dan negara-negara selatan global harus menjadi wahana untuk memperkukuh diplomasi, bukan medan-medan mempertonjol pengaruh kuasa besar. Kita perlu menzahirkan tindakan yang rasional, mengutamakan damai dan mendukung dialog, bukan konflik," katanya lagi.


Untuk rekod, Anwar dalam sidang BRICS kelmarin menekankan perlunya negara negara membangun atau kuasa Selatan termasuk ASEAN didengar suaranya oleh negara maju dan kuasa besar dunia.


Beliau menekankan multilateralisme yang memerlukan semua negara diutamakan dan bukan dianggap sebagai bekas tanah jajahan atau sebagainya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page