Kereta elektrik pertama Perodua jadi agenda nasional - PM
- Suara Keadilan

- Nov 11
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya yang dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan pada hujung November ini, menjadikannya satu agenda nasional di bawah aspirasi kerajaan untuk memperkukuh industri automotif negara.
Perdana Menteri berkata langkah itu bukan sekadar pelancaran produk baharu, sebaliknya mencerminkan kemajuan Malaysia dalam bidang teknologi hijau dan inovasi automotif yang dikembangkan oleh tenaga kerja tempatan.
"Pelancaran EV Perodua ini bukan sekadar projek komersial malah agenda nasional. Ia membuktikan kemampuan anak tempatan dalam menerajui perubahan industri automotif negara," katanya ketika berucap pada Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Perodua di Ibu Pejabat Perodua di Rawang, Selangor hari ini.
Perdana Menteri melahirkan keyakinan Perodua berpotensi menjadi peneraju utama dalam industri automotif serantau, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh rantaian bekalan automotif dan mempercepatkan peralihan kepada pengangkutan karbon rendah.
Menurut beliau kerajaan memberi jaminan untuk menyokong pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor kenderaan elektrik termasuk memperkukuh infrastruktur pengecasan serta melatih tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan industri masa depan.
"Saya mahu Malaysia bukan hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta. Kita mesti melahirkan jurutera, pereka bentuk dan teknologis yang mampu berdiri sama tinggi dengan negara lain," tegas beliau.
Dalam ucapannya Perdana Menteri turut memuji komitmen pengurusan dan tenaga kerja Perodua yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang meskipun berdepan cabaran ekonomi global sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan kejayaan Perodua melangkah ke era elektrifikasi, Anwar memberi jaminan kerajaan akan terus mempromosikan jenama itu ke peringkat antarabangsa sebagai contoh syarikat nasional yang berjaya berinovasi.
"Kita mahu Perodua menjadi kebanggaan negara, bukan sahaja di jalan raya Malaysia, tetapi di pasaran global," katanya lagi.









Comments