
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar merayu keputusan Mahkamah Tinggi dalam keputusan penting terkait kedudukan kerakyatan kanak-kanak yang lahir daripada perkahwinan wanita Malaysia dengan lelaki bukan warganegara.
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Senator Fadhlina Sidek berkata, keputusan kerajaan Malaysia yang telah memfailkan rayuan itu amat dikesali biar pun rayuan merupakan sebahagian daripada proses keadilan.
"Saya menegaskan dengan pemfailan rayuan tersebut, kerajaan Malaysia jelas gagal menghayati aspirasi “Keluarga Malaysia” yang telah diwar-warkan sebelum ini apabila kerajaan sendiri tidak mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
"Kerajaan mempunyai peluang yang cukup baik dalam tempoh 100 hari untuk membuktikan komitmen besar terhadap penghapusan diskriminasi gender, jaminan perlindungan kanak-kanak dan hak wanita di sisi undang-undang tetapi telah disia-siakan dengan proses rayuan yang dikemukakan," katanya dalam kenyatan hari ini.
Bagi Senator Dewan Negara itu, ungkapan keluarga Malaysia untuk menggambarkan semangat kebersamaan kerajaan PN 2.0 terbukti hanya retorik semata-mata dengan tindakan berkenaan.
"Aspirasi 'Keluarga Malaysia' hanyalah retorik semata-mata apabila Kerajaan Malaysia terus gagal memaknai implikasi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan kesannya kepada polisi negara, malah kesan yang paling mendasar adalah penegakan hukum yang mempertahankan hak asasi dan penghapusan diskriminasi gender terhadap wanita dan kanak-kanak," katanya lagi.
Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, melalui penghakimannya memutuskan perkataan 'bapa' dalam Jadual kedua Perlembagaan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.
Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula difailkan bagi menuntut perisytiharan yang anak wanita warga Malaysia tetapi berkahwin dengan rakyat asing, secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun anak itu dilahirkan di luar negara.
Ia selaras dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan yang dibaca bersama dengan Perkara 14 (1)(b) yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1)(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan.
Commentaires