Kenyataan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali bahawa sudah hampir 3 bulan Kerajaan Perpaduan memerintah tetapi masih tidak kelihatan langkah atau tindakan yang diambil untuk membantu rakyat dibidas banyak pihak.
Bagi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kegagalan Azmin melihat tindakan membantu rakyat berkemungkinan kerana mantan Menteri Ekonomi itu telah tua dan pandangan matanya kabur sehingga gagal mengenal pasti betapa banyak skim bantuan yang telah diwujudkan oleh kerajaan.
"Jelas perubahan demi perubahan drastik dilaksanakan Kerajaan Perpaduan, namun mungkin disebabkan pandangannya semakin kabur atas faktor usia maka beliau gagal untuk melihat.
"Contoh terbaik adalah bantuan khas RM 10 juta dari BERNAS untuk tahun 2022 dan RM 50 juta pada tahun 2023. Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan BERNAS ini berjumlah RM 250 bagi setiap pesawah.
"Ini tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini tetapi direalisasi hasil inisiatif yang digerakkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary beberapa ketika selepas mengangkat sumpah jawatan hujung November tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Shamsul menasihatkan Azmin untuk rajin membaca kerana bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan tersebut banyak disiarkan dalam media arus perdana.
Beliau menasihatkan Azmin untuk kerap menjengok media masa selain media sosial, kerana katanya inisiatif terbaharu seperti Menu Rahmah telah dijadikan bahan berita hampir setiap hari.
"Itu belum dikira Sumbangan Tunai Rahmah fasa 1 bernilai RM 1.67 bilion yang diawalkan ke bulan Januari berbanding Mac memberi manfaat kepada 8.7 juta rakyat, juga inisiatif Menu Rahmah yang disokong lebih 15,000 peniaga dari pelbagai persatuan memberi kelegaan kepada rakyat yang bekerja mendapat sumber nutrisi lengkap hanya pada kos RM 5.
"Kalau hendak disenaraikan semua inisiatif Kerajaan Perpaduan maka kenyataan media ini akan bertukar menjadi artikel, jadi rajin-rajinlah membaca supaya tidak ketinggalan mengetahui isu semasa," katanya.
Oleh itu, Shamsul yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN mahu rakyat menilai tingkah laku pembangkang yang hanya bijak menyerang kerajaan, sedangkan tidak menyemak dan mengiktiraf sebarang perkara baik yang dilakukan.
"Saya yakin rakyat hari ini lebih matang dalam menilai gelagat pembangkang yang gagal melaksana tugas semak dan imbang sebaliknya hanya menyerang pentadbiran Kerajaan Perpaduan membabi buta tanpa asas.
"Ada baik saudara Azmin Ali tumpukan tugas sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor memandangkan Pilihan Raya Negeri semakin hampir. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," sinisnya lagi.
Bantuan kata dah dikreditkan bulan februari,tapi bila check dalam akaun,tak ada,bantuan apa yg telah di kredit kan pada bulan