Kerajaan usaha kekalkan harga RON95 RM1.99, kurang beban hidup rakyat
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI akan berusaha mempertahankan harga subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban sara hidup rakyat biarpun bekalan minyak terhad dan pergerakan kapal tangki dari Asia Barat melambung kosnya.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mengekalkan subsidi harga bahan api itu tetap diteruskan meskipun kerajaan berdepan tekanan kewangan.
Katanya, penyasaran subsidi penting diteruskan bertujuan mengurangkan beban ditanggung rakyat.
"Apakah boleh bertahan RON95? Setakat ini kita berusaha untuk pertahankan harga RON95 ini, walaupun tekanan kewangan sedikit membebankan.
"Saya ingat penting juga kita mengurangkan bebanan kepada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussadah Kampung Baru Cheras, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa subsidi diesel akan diteruskan oleh pihak kerajaan.
Katanya, ada beberapa golongan yang merasakan kenaikan harga diesel itu membebankan mereka.
"Kalau melibatkan soal peladang, petani dan nelayan itu telah dibantu. Tapi kalau bidang-bidang lain kita (kerajaan) dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka," ujarnya lagi.
PM turut ditanya mengenai pergerakan kapal tangki Malaysia melepasi Selat Hormuz. Kapal tangki Malaysia antara yang dibenarkan belayar di selat berkenaan tanpa dikenakan tol oleh pihak Iran dan hal itu memastikan bekalan minyak mentah di negara ini stabil.




Comments