Satu sekretariat tetap menangani isu kos sara hidup bakal ditubuhkan untuk merangka pelan tindakan komprehensif jangka pendek dan panjang bagi menangani sebarang isu dihadapi rakyat
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Salahuddin Ayub, berkata sekretariat itu melibatkan kerjasama antara Kementerian diterajuinya dan Kementerian Ekonomi yang dipimpin Mohd Rafizi Ramli.
Antara langkah yang bakal dilaksana adalah berkaitan pertukaran data bagi melihat kumpulan fokus dan dasar, contohnya pemberian subsidi serta pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.
"KPDNKSH sedar untuk usaha meningkatkan kos sara hidup ini, kita tidak boleh berkerja bersendirian, kerana isu kos sara hidup adalah agenda nasional.
"Jadi, kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya dapat bergerak ke depan dengan lebih efisien
"Ini bagi membolehkan kita saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk KPDN dan rakyat dalam kita berusaha tingkatkan taraf hidup mereka," katanya.
Salahuddin dan Rafizi sebelumnya mengadakan mesyuarat hampir dua jam bagi membincangkan idea penubuhan sekretariat yang akan bakal disertai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian terbabit serta pegawai dari Jabatan Statistik dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Sementara itu Salahuddin yang juga Pegerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor turut memberitahu usaha menangani isu kos sara hidup itu kemudian akan diperluas dengan libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFs), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan 11 kementerian yang ada dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
"Ini bagi menjayakan rancangan melahirkan satu pelan tindakan strategik untuk menangani kos sara hidup," katanya.
Comments