Serangan siber: Kerajaan tingkatkan kesiapsiagaan, rakyat diminta berwaspada


Kerajaan akan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan, termasuk serangan siber, gangguan infrastruktur strategik dan ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diputuskan selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan bagi meneliti implikasi perkembangan keselamatan global terhadap Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum langkah beberapa negara seperti Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun yang menasihatkan rakyat masing-masing supaya mempunyai stok bekalan makanan untuk tempoh tiga hingga 10 hari sebagai persediaan menghadapi kemungkinan krisis.
"Ini disebabkan oleh keadaan antarabangsa tidak menentu, terutama berikutan serangan siber yang menyeluruh dan menggemparkan yang melanda seluruh infrastruktur digital Eropah dan dunia Barat termasuk sistem pentadbiran," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat sesi pagi, hari ini.
Menurut PM, kerajaan sedang memantau perkembangan ketegangan konflik di Asia Barat, situasi di Yaman dan Laut Merah serta ancaman keselamatan di Eropah yang berpotensi memberi kesan kepada keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Sementara itu, katanya, serangan siber di Belgium misalnya, memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasionalnya. Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir 9 juta orang. Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan suruhanjaya pilihan raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum penggundian Dewan Senat yang baru.
Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas.
Teliti semua jenis ancaman
Tegas Anwar, di dalam negara mesyuarat khas MKN meneliti tiga perkara utama, iaitu ancaman serangan hibrid digital dan siber, kemungkinan kesan serangan terhadap negara Teluk termasuk Iran berkaitan penggunaan nuklear, serta perkembangan politik Eropah yang boleh menjejaskan sistem pentadbiran dan memberi kesan kepada Malaysia.
"Yang penting perjumpaan semalam adalah membincang mekanisme yang sedia ada, penyelarasan yang lebih rapi di antara kementerian dan agensi dan pasukan keselamatan, dan memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan berkaitan, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia akan mengadakan sidang khas dengan institusi kewangan negara bagi membincangkan tahap kesiapsiagaan sektor berkenaan.
PM berkata, kerajaan turut mengambil iktibar daripada pendekatan kesiapsiagaan EU menerusi EU Preparedness Union Strategy yang melibatkan jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
Beliau berkata, antara langkah yang diberi penekanan ialah memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman dalam serta luar negara, dan melindungi infrastruktur serta sektor strategik negara.
"Dan saya dah bayangkan dalam sidang Parlimen ini bahawa, ini
juga termasuk beberapa badan risikan luar negara, termasuk Israel
beroperasi di negara-negara jiran dan perkampungan Israel di
Phuket dan di selatan Thailand yang kemudian dilihat oleh badan badan risikan kita sebagai potensi ancaman kepada negara," katanya.
PM turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran rakyat supaya tidak menganggap ancaman antarabangsa sebagai sesuatu yang jauh daripada Malaysia.
".... jangan kita fikir ancaman ini ancaman yang jauh dari kita, kerana apa yang berlaku di Eropah dan di Amerika serta Jepun itu memang gempar, menggemparkan negara masing-masing," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkukuh keupayaan agensi serta penggunaan teknologi bagi menghadapi ancaman, khususnya serangan siber.
Dalam pada itu beliau berkata, semua kementerian dan agensi diminta terus menjalankan tanggungjawab masing-masing serta memastikan penyelarasan berkesan, selain menjamin kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Katanya, beliau turut menerima jaminan kesiapsiagaan daripada Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara dalam mesyuarat berkenaan.




Comments