Kerajaan tingkat peruntukan demi kebajikan pelajar agama, vernakular
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Tahun Baharu 2026 semalam mengenai peruntukan kepada institusi persekolahan aliran agama dan vernakular mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap usaha mempertingkatkan persekitaran pembelanjaran kanak-kanak di negara ini.
Exco Wanita Pusat KEADILAN, J. Karen Kasturi berkata peruntukan berkenaan menunjukkan keutamaan jelas Perdana Menteri terhadap aspek kebajikan dan keselesaan murid merentas pelbagai aliran pendidikan dan komuniti.
"Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertingkatkan persekitaran pembelajaran anak-anak melalui peningkatan ketara peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah, merangkumi Sekolah Agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri menyatakan peruntukan bagi sekolah agama dari 2025 ke 2026 meningkat sebanyak 33 peratus daripada RM150 juta kepada RM200 juta manakala SJKC sebanyak 60 peratus daripada RM50 juta kepada RM80 juta.
SJKT pula mencatat peningkatan 67 peratus daripada RM30 juta kepada RM50 juta.
Karen Kasturi yang juga Timbalan Bendahari sayap parti itu berkata peningkatan peruntukan tersebut amat bermakna kepada ibu bapa dan pendidik kerana kemudahan serta infrastruktur sekolah memberi kesan langsung kepada pengalaman pembelajaran harian murid.
"Bilik darjah yang kondusif, kemudahan asas yang terjaga dan persekitaran sekolah yang menyokong akan membantu murid belajar dengan lebih fokus, selesa dan yakin," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen kewangan ini perlu disertai dengan garis panduan yang jelas serta penyelarasan pelaksanaan berkesan bagi memastikan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan secara tersusun khususnya di sekolah berkeperluan paling mendesak.
"Kejelasan mengenai skop kerja yang layak di bawah peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf termasuk sama ada pemasangan sistem pemantauan dan keselamatan, amat penting agar pihak sekolah dapat merancang dengan lebih berkesan dan memaksimumkan impak peruntukan ini," katanya.
Karen Kasturi berkata pelaksanaan yang cekap akan memperkukuh lagi visi Perdana Menteri ke arah sistem pendidikan yang inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana anak.
"Mesej Tahun Baharu Perdana Menteri menetapkan hala tuju yang positif dan berpandangan ke hadapan bagi 2026. Menterjemahkan komitmen ini kepada penambahbaikan sebenar di peringkat sekolah akan meningkatkan keyakinan rakyat serta memastikan anak-anak di seluruh negara menikmati persekitaran pembelajaran yang menyokong potensi mereka sepenuhnya," katanya.





