Kerajaan timbang hidrogen kelabu sebagai bahan api peralihan – Lih Kang


Penggunaan hidrogen kelabu sebagai bahan api peralihan bagi mempercepat pembangunan mobiliti hidrogen negara sedang dipertimbangkan bagi menangani kos penghasilan hidrogen hijau yang masih tinggi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kos penghasilan hidrogen hijau dianggarkan antara AS$8 hingga AS$10 sekilogram, berbanding kira-kira AS$2 bagi hidrogen kelabu.
"Memandangkan kos hidrogen hijau masih tinggi sekarang, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan hidrogen kelabu atau grey hydrogen sebagai bahan api peralihan, tertakluk kepada penilaian kecukupan bekalan, keamatan karbon dan impak alam sekitar," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Khamis.
Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim sementara itu turut berkata, Kerajaan turut boleh meneliti pemberian insentif fiskal, pembangunan infrastruktur serta galakan penggunaan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) bagi merangsang pasaran mobiliti hidrogen.
Usaha pembangunan mobiliti hidrogen jelasnya bukan bertujuan bersaing dengan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV), sebaliknya kedua-dua teknologi itu mempunyai peranan berbeza dan saling melengkapi.
"BEV lebih sesuai untuk kenderaan penumpang serta perjalanan jarak dekat, manakala FCEV berpotensi memenuhi keperluan pengangkutan berat dan perjalanan jarak jauh.
"FCEV tidak menghasilkan pelepasan karbon di ekzos, sebaliknya hanya menghasilkan air sebagai produk sampingan," jelasnya.




Comments