Kerajaan tidak tolak terus UEC, perlu rekonsiliasi pendidikan, utamakan perpaduan
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali menjadi perdebatan hangat di media dan ruang awam, namun semua pihak diingatkan agar menangani perkara ini secara rasional serta berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip perpaduan nasional.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad, sebarang perbincangan dalam isu berkenaan tidak wajar berpaksikan sentimen sempit, sebaliknya perlu menjunjung kerangka kenegaraan demi masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersatu dan mempunyai identiti kebangsaan yang jelas.
"Pendekatan ini tidak berpihak kepada mana-mana kaum atau agama, tetapi berpihak kepada masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersatu dan beridentiti kebangsaan yang jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa isu UEC tidak seharusnya dilihat secara emosional atau sempit, sebaliknya dinilai dari sudut kepentingan jangka panjang negara. Universiti awam dan perkhidmatan awam, jelasnya, bukan sekadar institusi akademik atau ruang kerjaya, tetapi medan penting pembinaan nusa bangsa dan identiti nasional.
"Perbincangan mengenai UEC tidak harus berakhir dengan penolakan penuh. Perlu ambil pendekatan rekonsiliasi pendidikan, iaitu mengambil elemen-elemen positif, baik daripada mana-mana jalur sistem peperiksaan termasuk UEC untuk diperkayakan dalam sistem pendidikan kebangsaan, tanpa menjejaskan tunjang perlembagaan persekutuan dan pembinaan masyarakat majmuk," ujarnya.
Sehubungan itu, tegas beliau, semua pihak khususnya ahli politik digesa meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit serta menghentikan amalan menjadikan isu UEC sebagai modal perdebatan setiap kali menjelang pilihan raya.
"Saya percaya bahawa integrasi nasional bermula dengan pendidikan, dan pendidikan yang berjaya ialah pendidikan yang melahirkan warganegara Malaysia yang berakar pada identiti kebangsaan dan terbuka kepada kepelbagaian ilmu dan budaya," katanya.
Dalam hal ini, Faezuddin menyatakan sokongan penuh kepada pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan keutamaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, di samping mengiktiraf peranan bahasa lain dalam konteks ilmu, ekonomi dan kemajuan negara.
Sekali gus menolak laporan media arus perdana semalam yang membayangkan kononnya Perdana Menteri menolak terus isu UEC untuk dibincangkan secara lanjut.
"Mana-mana laporan media yang mendakwa Perdana Menteri ‘menolak’ atau ‘menutup terus’ isu UEC adalah tidak tepat dan mengelirukan," katanya lagi.
Sebaliknya tambah Faezuddin, rakaman penuh kenyataan Perdana Menteri jelas menunjukkan pendekatan yang berhati-hati, inklusif dan berimbang, dengan meletakkan asas kenegaraan sebagai keutamaan sebelum memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya di Malaysia.





