top of page

Kerajaan tidak bercadang tutup TikTok, tegas tangani isu keselamatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 13, 2024
  • 2 min read


Kerajaan tidak berhasrat untuk menutup operasi media sosial termasuk TikTok sebagaimana dilakukan beberapa negara sebelum ini atas faktor keselamatan, sebaliknya mahu meningkatkan kerjasama dengan syarikat penyedia platform berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Beliau berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang yang lebih sesuai dengan keperluan sekarang membabitkan pengendalian


"Pada waktu ini, kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial. Kita lihat ada beberapa perkara yang dibangkitkan yang kita harap kerjasama lebih baik daripada platform media sosial serta undang-undang lebih sesuai dengan keperluan sekarang.


"(Kerana) ini akan dapat membantu ekonomi negara dan rakyat untuk meraih manfaat daripada penggunaan platform ini," katanya.


Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang bertanya sama ada kerajaan akan menuruti langkah negara lain yang menutup operasi TikTok kerana dikatakan 'memberi mudarat'.


Beliau bagaimanapun, mengakui terdapat negara lain seperti India yang menyekat penggunaan TikTok sejak enam tahun lalu.


"Begitu juga China yang tidak membenarkan TikTok beroperasi tetapi menggantikannya dengan aplikasi serupa iaitu Douyin. Ada beberapa langkah sedang dipertimbangkan untuk pastikan sekiranya ada isu keselamatan dalam talian kepada kanak-kanak dan isu bahan lucah dapat ditangani lebih baik.


"Ini termasuklah penjualan produk-produk yang tidak patut (sesuai), jadi kita akan tangani perkara ini dengan lebih menyeluruh," katanya lagi.


Terdahulu menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai langkah kerajaan bagi membanteras penjualan bahan pornografi di aplikasi seperti Telegram dan X yang turut menjejaskan pelajar sekolah, Fahmi menjelaskan sejumlah 38 kes berkaitan kandungan lucah telah diterima dan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat 1 Jan 2023 hingga 1 Mac lalu.


Katanya daripada jumlah itu 18 kes masih dalam siasatan, dua kes telah diberi notis amaran manakala sebanyak 18 kes berstatus tiada tindakan lanjut atau tiada kesalahan dizahirkan mungkin melibatkan bahan dipadam atau diturunkan.


Fahmi menyifatkan usaha menangani sebaran bahan lucah seperti kucing mengejar tikus, iaitu usaha berterusan yang hampir berjaya tetapi sering terlepas.


"Seringkali tangani sebarang bahan lucah ... Kita tutup sini dia muncul sana. Jadi kerjasama lebih erat bersama penyedia platform media sosial diperlukan. Contohnya, salah satu isu dihadapi polis berkaitan akaun yang menyebarkan bahan lucah ini adalah aspek profiling (pengesanan identiti)," katanya.


Pada awal Mac, Fahmi ketika bertemu dengan pengasas Telegram, Pavel Durov di Dubai, mendapat jaminan daripada ketua pegawai eksekutif pengendali platform itu untuk bekerjasam memperkemaskan aspek kawal selia terutama dalam membanteras aktiviti penipuan atau scam dan judi dalam talian.


November tahun lalu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan wakil penyedia TikTok dan syarikat konglomerat Meta bagi membincangkan isu membabitkan kawal selia kandungan.


Antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah isu kandungan berkaitan Palestin yang diturunkan daripada TikTok, kegiatan judi dalam talian dan strategi coordinated inauthentic behaviour (CIB - tingkah laku tidak tulen terselaras) dalam platform itu.

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page