top of page

Elaun Pasca Cuti Bersalin langkah strategik perkasa tenaga kerja wanita

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pengumuman kerajaan mengenai pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) dilihat sebagai langkah transformatif dalam memperkasa penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta memperkukuh ketahanan ekonomi negara.


Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar (gambar) berkata, inisiatif tersebut secara langsung menangani cabaran sistemik yang sekian lama menjejaskan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita di Malaysia.


Menurut beliau, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penyertaan graduan wanita dalam pasaran kerja pada awal kerjaya adalah setara dengan lelaki, namun merosot secara mendadak selepas usia 30 tahun kerana tuntutan rumah tangga.


"Statistik mendedahkan trend "puncak tunggal" di mana penyertaan wanita merosot mendadak selepas usia 30 tahun fasa yang sering dikaitkan dengan perkahwinan dan kelahiran anak," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menjelaskan, dasar EPCB mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih inklusif, yang mana tanggungjawab keibuan tidak lagi menjadi penghalang kepada perkembangan kerjaya wanita.


"Ia merupakan satu langkah konkrit bagi memastikan para ibu mendapat lebih banyak masa berkualiti dan penting bersama bayi mereka tanpa perlu bimbang akan tekanan kewangan yang mendesak semasa fasa transisi kritikal ini," ujarnya.


Dalam pada itu, Sangetha berkata, Wanita KEADILAN mengiktiraf EPCB sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengangkat beban penjagaan yang selama ini dipikul secara tidak seimbang oleh wanita.


"Walaupun wawasan jangka panjang kami adalah untuk melihat Malaysia mencapai sistem penjagaan kanak-kanak sejagat (universal childcare), kami realistik dalam mengakui bahawa perjalanan ke arah itu masih jauh dengan keadaan ekonomi negara," katanya.


Tambah beliau, inisiatif itu juga selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Deklarasi Permatang Pauh 1998 yang menekankan pembinaan masyarakat adil dan saksama.


"Seruan fundamental deklarasi tersebut untuk membina sebuah "masyarakat yang adil dan saksama" berkait rapat dengan pembebasan ekonomi setiap lapisan rakyat.


"Kami percaya bahawa sesebuah masyarakat tidak boleh dianggap adil sekiranya hambatan struktur terus meminggirkan potensi besar wanita."


Menurut Sangetha lagi, dasar tersebut berteraskan prinsip keadilan sosial yang menuntut peranan proaktif negara dalam mengimbangi peluang dan merapatkan jurang ketidaksamaan.


"Kami berpegang teguh bahawa usaha meningkatkan KPTB wanita bukan sekadar keperluan ekonomi bagi menjayakan agenda Ekonomi MADANI, malah ia adalah satu tuntutan moral untuk menjulang martabat insan dan keutuhan institusi keluarga," katanya.


Pemberian elaun itu, katanya adalah contoh terbaik pengagihan keadilan bagi memastikan sumber negara digunakan untuk melindungi kelangsungan kerjaya mereka yang membesarkan generasi masa hadapan dalam sebuah Malaysia yang progresif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page