top of page

Kerajaan tidak ambil alih Datasonic - MKN

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Datasonic Technologies Sdn Bhd. Foto kredit: Bernama
Datasonic Technologies Sdn Bhd. Foto kredit: Bernama

Kerajaan berpendirian untuk tidak mengambil alih Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kemungkinan pengambilalihan syarikat penyedia perkhidmatan identiti rakyat itu yang sebelum ini dinilai sekitar RM7.5 bilion.


Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata keputusan itu dibuat susulan laporan media mengenai cadangan pengambilalihan DTSB yang menyediakan perkhidmatan berkaitan identiti rakyat.


"Berkaitan laporan media mengenai cadangan pengambilalihan Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) yang menyediakan perkhidmatan identiti rakyat, Kerajaan MADANI berpendirian untuk tidak mengambil alih DTSB," katanya dalam kenyataan.


MKN menegaskan identiti rakyat merupakan antara aset strategik terpenting negara dan kerajaan sentiasa memberikan keutamaan tertinggi terhadap aspek keselamatan dan kedaulatannya.


Menurut agensi itu lagi, usaha mengawal selia perkara tersebut dilaksanakan menerusi rangka kerja merangkumi aspek perundangan, kewangan, tadbir urus dan keselamatan.


Pada masa sama, katanya kerajaan akan terus meneroka dan meneliti strategi proaktif serta berkesan bagi mencapai matlamat memelihara keselamatan dan kedaulatan identiti rakyat.


"Strategi-strategi tersebut juga mestilah memberi nilai terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan," menurut kenyataan itu.


MKN berkata kerajaan kekal komited memastikan semua pihak terlibat terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang selamat dan boleh dipercayai.


Sebelum ini, laporan mengenai kemungkinan kerajaan mengambil alih DTSB mencetuskan perhatian selepas syarikat induknya, NexG Bhd, menganggarkan nilai anak syarikat milik penuhnya itu sekitar RM7.5 bilion.


NexG kemudiannya menjelaskan kepada Bursa Malaysia bahawa permintaan mendapatkan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan DTSB dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu pertemuan pada 24 Julai 2026.


Permintaan itu disampaikan secara lisan dan bukannya menerusi dokumen bertulis.


Bagaimanapun, nilai RM7.5 bilion berkenaan merupakan penilaian awal dalaman berdasarkan kaedah sum-of-the-parts dan bukannya penilaian bebas, nilai transaksi yang dipersetujui atau tawaran muktamad kerajaan.


Angka berkenaan mendapat perhatian susulan kedudukan DTSB sebagai perniagaan teras NexG serta pembekal utama dokumen identiti negara.


DTSB merupakan penyedia MyKad dan sejak 2012 menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).


Syarikat itu turut mempunyai mandat membabitkan MyKad struktur baharu, MyTentera dan MyPOCA.


Pada 2025, DTSB turut dianugerahkan dua kontrak selama enam tahun bernilai kira-kira RM2.5 bilion bagi pembekalan pasport Malaysia dan MyKad sehingga 2032.


Bagaimanapun, MKN menegaskan sebarang pendekatan kerajaan dalam mengurus keselamatan identiti rakyat perlu mengambil kira bukan sahaja aspek keselamatan dan kedaulatan, malah nilai terbaik bagi wang awam yang dibelanjakan.


"Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan semua pihak yang terlibat terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang selamat dan dipercayai," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page