Kerajaan tiada kuasa secara langsung sekat kandungan media sosial
- Suara Keadilan
- Jun 29
- 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat atau menurunkan mana-mana kandungan mahupun akaun di platform media sosial.
Beliau berkata, tindakan tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh penyedia platform sendiri apabila didapati kandungan melanggar undang-undang.
"Bila sesuatu kandungan atau akaun diturunkan, ia bermaksud platform akur dengan undang-undang sedia ada dan percaya kandungan itu melanggarnya.
"Kerajaan tak boleh arahkan mereka secara terus," katanya dipetik pada sidang media selepas menghadiri Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di ibu negara, semalam.
Program NANBA, yang diilhamkan daripada perkataan Tamil bermaksud “kawan”, adalah inisiatif strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) untuk memperkukuh hubungan kerajaan bersama komuniti India, khususnya belia.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop dan Ahli Parlimen Batu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) P Prabakaran.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Fahmi memaklumkan sebanyak 173,642 kandungan telah diturunkan oleh platform media sosial sejak 1 Januari lalu, dengan lebih 90,000 daripadanya melibatkan judi dalam talian dan 43,000 berkaitan jenayah penipuan (scam).
"Facebook paling banyak memaparkan iklan perjudian serta penipuan dalam talian, manakala Telegram paling lemah menguruskan isu ini.
"Daripada jumlah kandungan yang diminta diturunkan di Telegram, separuh daripadanya melibatkan penipuan tetapi tidak semuanya diturunkan," jelas Fahmi.
Sehubungan itu tegasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan perbincangan dengan pengendali media sosial terutama Telegram.
Hal itu bagi menangani antara lain isu scam, judi dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak, bahan persundalan dan juga bahan hak cipta filem atau episod televisyen yang sebelum ini diperoleh melalui pelbagai saluran di platform itu.
Comments