top of page

Kerajaan tetapkan DDI petunjuk prestasi pelaburan dalam negara



Pelaburan langsung domestik (DDI) ditetapkan sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara, kata Perdana Menteri.


Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan petang semalam berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Kedua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).


Mengulas keputusan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, ia sebagai salah satu langkah merancakkan landskap pelaburan negara


Kerajaan pimpinannya, khususnya melalui MITI komited sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan lestari dan seimbang di seluruh negara.


"Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global.


"Ini termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Anwar turut memberitahu, pelaburan DDI yang strategik berpotensi menarik lebih FDI yang mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.


DDI sentiasa dianggap sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.


Sehubungan itu, kata beliau, kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) amat penting untuk memperkasakan DDI sebagaimana ditekankan dalam mesej Ekonomi Madani.


"Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.


"MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi," tambah Anwar.


Mengulas lanjut beliau berkata, bagi tahun 2022 sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana 140,440 peluang pekerjaan.


"DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini, manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI : DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun)


"Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa," katanya.


Pada masa sama, Anwar memberitahu, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan di antara MITI dan kesemua Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) akan diaktifkan semula dalam memperkemaskan landskap IPA negara menjelang 1 Januari 2024.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page