top of page

Kerajaan terus usaha tingkat kualiti telekomunikasi, kurangkan caj



Oleh: Helmi Mohd Foad


Kerajaan akan terus menjalankan usaha bagi meningkatkan kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di negara ini selain memastikan harganya dapat dikurangkan bagi rakyat.


Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, laporan Jabatan Perangkaan bagi tiga hingga empat bulan kebelakangan ini menunjukkan kadar inflasi negatif 3.7 peratus secara konsisten bagi sektor telekomunikasi.


"Bermaksud kos yang melibatkan sektor telekomunikasi ada nampak pengurangan dan Insya-Allah kita berusaha tingkatkan kualiti, mutu perkhidmatan dan kurangkan harga bagi rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator C. Sivaraj dalam sidang Dewan Negara, semalam.


Fahmi berkata kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap rungutan yang dibangkitkan pengguna apabila terdapat kos tambahan dikenakan sekiranya pelanggan telco ingin menaik taraf kepada perkhidmatan 5G.


Jelas beliau keputusan mengurangkan atau mengurangkan caj tambahan kepada pengguna yang ingin menaik taraf rangkaian kepada 5G merupakan isu komersial manakala kerajaan sentiasa memantau dari segi dasar.


Katanya terdapat syarikat telekomunikasi (telco) yang telah bersetuju dengan cadangan pihak kerajaan agar dinyah caj tambahan sekiranya menaik taraf kepada 5G.


"Ada syarikat telekomunikasi seperti CelcomDigi telah terima cadangan kita dan Khamis lalu mereka umumkan pakej baru dan tidak ada caj tambahan untuk langganan 5G," katanya.


Kepada soalan asal Sivaraj mengenai aduan pengguna terhadap masalah rangkaian telefon bimbit tidak jelas dan kurang memuaskan di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Fahmi menjelaskan pihaknya mengakui terdapat masalah liputan yang tidak jelas atau kurang memuaskan.


"Keadaan ini boleh disebabkan oleh faktor seperti kesesakan rangkaian di sesuatu tempat pada satu-satu masa dan penerimaan liputan yang kurang memuaskan disebabkan oleh halangan seperti bangunan tinggi," katanya.


Untuk itu kata beliau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan telco memerlukan kerjasama daripada pemilik bangunan dan badan pengurusan bersama (JMB) untuk membenarkan pemasangan solusi liputan dalam bangunan (in-building coverage).


Tambahnya suruhanjaya itu menerima sebanyak 23,355 aduan setakat 16 November lepas dengan 4.5 peratus (1,058) adalah di Kuala Lumpur.


"Daripada keseluruhan jumlah aduan rangkaian tersebut, sebanyak 96 peratus aduan telah diselesaikan melalui tindakan oleh pemberi perkhidmatan di peringkat pertama.


"Seterusnya bagi pertikaian aduan berkaitan rangkaian akan dipanjangkan kepada pejabat-pejabat negeri SKMM untuk tindakan susulan dan penyelesaian sewajarnya," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page