
Ekosistem industri kandungan digital negara terus diperkukuh dengan perancangan rapi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menurut Menteri KKD, Fahmi Fadzil, sesi dialog awam (town hall) industri kandungan digital dan teknologi kreatif yang disertai seramai hampir 400 peserta hari ini amat berfaedah serta memberi imput berguna untuk mengembangkan industri berkenaan.
"Dialog awam ini merupakan platform penting bagi komuniti industri digital memahami sentimen dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit serta membincangkan pelbagai inisiatif yang berpotensi memajukan industri kandungan digital negara.
"Saya amat menghargai penglibatan komuniti industri digital yang turut serta pada sesi ini, termasuklah wakil studio tempatan yang terlibat dalam bidang pengeluaran permainan, perkhidmatan permainan, pencipta dan studio harta intelek (IP) animasi, komik digital serta teknologi kreatif," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fahmi lagi, menerusi Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin), industri kandungan digital telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor teknologi tumpuan yang menjana purata pendapatan tahunan kira-kira RM5.5 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 orang.
"Saya yakin inisiatif ini dapat terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa serantau untuk kandungan digital dan teknologi kreatif melalui Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DEKD).
"Geran Kandungan Digital yang bernilai antara RM150,000 dan RM2 juta meliputi projek-projek animasi, permainan digital, komik digital dan kandungan kreatif teknologi juga akan diteruskan pada tahun ini untuk menyokong perkembangan studio
tempatan dengan menyediakan pembiayaan dan membantu meningkatkan kebolehpasaran IP dan produk," katanya lagi.