Kerajaan akan terus memantau penyusutan mata wang ringgit sejak dua minggu kebelakangan ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, setakat ini kerajaan belum bercadang menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini susulan penyusutan itu.
"Setakat ini terlalu awal untuk menetapkan bahawa kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada projection (unjuran pertumbuhan ekonomi).
"Kita perlu menunggu data-data perdagangan dan ekonomi dalam bulan hadapan, dua bulan lagi kerana yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan itu bukan sangat melibatkan kadar nilai ringgit tetapi lebih kepada aktiviti perdagangan (seperti) eksport, import, harga minyak dan sebagainya," katanya.
Beliau sebelumnya menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kerajaan menganjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada 2023 adalah pada kadar empat hingga lima peratus.
Isu berkaitan perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa minggu lalu banyak mempengaruhi sentimen pasaran termasuk kepada nilai mata wang ringgit.
Walau bagaimanapun jelas Rafizi, situasi nilai ringgit sekarang turut membawa kebaikan, contohnya kepada pendapatan negara dan juga sektor minyak memandangkan pricing (penetapan harga) adalah dalam nilai dolar Amerika Syarikat.
"The higher the price is and the weaker ringgit is, lebih banyak duit kita dapat tetapi contohnya bagi eksport kita (adalah sebaliknya).
"Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan (untuk menyemak semula unjuran)," kata Rafizi lagi.
댓글