Oleh: Azuan Ab Rahman
Sekretariat Komuniti Gig Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Pengerusi sekretariat itu, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi perhatian serius terhadap nasib golongan itu yang telah diperjuangkan sejak sekian lama.
"Selama beberapa tahun kegiatan ekonomi gig berjalan, nasib mereka tidak diambil peduli, terutama kerana syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap penggiat gig sebagai pekerja dan diri mereka sebagai majikan.
"Terima kasih kita ucapkan kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) kerana memberi perhatian serius kepada penubuhan suruhanjaya terbabit dan merealisasikan harapan pekerja gig.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang begitu komited membela nasib pekerja p-panggilan dan e-panggilan, termasuk dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini," katanya melalui satu kenyataan.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merekodkan sebanyak 1,12 juta terlibat dengan sektor pekerjaan gig dengan 80 peratus dari mereka merupakan golongan anak muda.
Anwar mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu pada ucapan di majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya pada Sabtu
Tumpuan suruhanjaya itu bagi memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan terbabit.
Sementara itu Mohd Shakar berharap, dengan tertubuhnya suruhanjaya itu ia akan dapat menambah baik pendapatan dan kebajikan golongan tersebut.
Comments