
Kerajaan Negeri Terengganu digesa bersikap telus dalam isu pengagihan bantuan-bantuan kepada rakyat.
Gesaan itu dibuat KEADILAN Kemaman melalui satu kenyataan yang mengulas kelewatan agihan bantuan I Perantau dan bantuan banjir kepada rakyat di negeri itu.
Pengerusi Biro Komunikasinya, Ahmad Nadhir Yob menyatakan kebimbangan bantuan itu akan digunakan sebagai gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Umum mengetahui Terengganu akan menghadapi pilihanraya negeri tidak lama lagi. Persoalannya kenapa bantuan ini dilewatkan? Adakah ini satu percubaan Kerajaan Negeri untuk menggunakan bantuan I perantau ini sebagai gula-gula pilihanraya?
"Begitu juga dengan kelewatan bantuan banjir terutama di daerah Kemaman yang masih belum dapat diselesaikan secara tuntas oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
"Adakah Kerajaan Negeri di bawah Pas akan juga menggunakan isu bantuan banjir ini untuk meraih undi sempena PRN kali ini?" soalnya.
Beliau sebelumnya mengulas kenyataan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mengakui berlaku kelewatan dalam agihan bantuan tersebut.
Hanafiah berkata, agihan tersebut ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
"Isu kelewatan bantuan I perantau dan bantuan banjir harus diselesaikan dengan telus dan mengikut prosedur yang betul.
"Sebarang percubaan untuk menggunakan isu ini untuk meraih sokongan bagi pilihanraya harus ditolak oleh segenap masyarakat di negeri Terengganu.
"Kita tidak mahu melihat bantuan seperti ini digunakan oleh mana-mana pihak sekalipun untuk meraih sokongan untuk pilihanraya," kata Ahmad Nadhir lagi.
Comments