Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi bahan api nelayan
- Azuan Ab Rahman

- Apr 7
- 1 min read

Kerajaan MADANI akan meneliti cadangan penambahbaikan kuota subsidi bahan api bagi nelayan khususnya melibatkan vesel Zon A.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memaklumkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memahami kekangan dihadapi golongan nelayan, terutama berkaitan had subsidi sebanyak 50 liter sehari yang dilihat tidak lagi mencukupi dalam situasi semasa.
Perkembangan industri perikanan jelasnya menjadi pertimbangan termasuk perubahan teknologi vesel serta peningkatan kuasa enjin yang menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih tinggi.
"Skim subsidi diesel dan petrol yang dilaksanakan sejak 2006 bertujuan meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan, namun bukan untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.
"Penetapan kuota dibuat dengan mengambil kira aspek kawalan bagi memastikan bantuan disalurkan secara mampan dan berkesan
"Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk menambah baik kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara," jelas kenyataan berkenaan.
Menerusi kenyataan sama, LKIM turut menyeru nelayan serta orang ramai agar memahami cabaran global masa kini termasuk krisis tenaga dunia yang memberi kesan langsung terhadap harga bahan api dan kos operasi.
Kerajaan tegasnya kekal komited mencari keseimbangan terbaik antara membantu golongan nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara.




Comments