Kerajaan tekad pelihara negara daripada konflik perkauman


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tekad untuk menokhtahkan taktik adu domba perkauman sebagai alat mendapat sokongan politik di negara ini
Melalui perkongsian di laman Facebooknya, Anwar berkata kerajaan dipimpinnya akan terus berusaha memelihara negara dan rakyat daripada terjerumus dalam kancah konflik perkauman sempit.
Tambahnya, kerajaan juga akan menghentikan usaha pihak yang menggunakan politik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat.
"Kunci kepada perpaduan kaum yang kita kecapi selama ini adalah saling menghormati, yang menjadi salah satu unsur penting dalam membangunkan Malaysia Madani," katanya bersempena sambutan Hari Songkran yang disambut masyarakat keturunan Siam.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN menyeru masyarakat keturunan Siam untuk bersama-sama rakyat Malaysia yang lain bersatu hati serta berkongsi tujuan serta tekad mengekalkan perpaduan dan kerjasama bagi membangunkan negara.
"Dengan itu, kita akan sama-sama membawa Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. Selamat menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia," katanya.
Songkran, yang terkenal sebagai festival air, adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.




Comments