
Proses untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dipercepatkan bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen semalam menegaskan usaha transformasi Parlimen itu juga penting bagi mengekalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.
"Ia harus dipercepatkan, Peguam Negara sudah maklum (draf undang-undang), ada perkara yang sedang diteliti dan perlu dicerakinkan agar tidak ada sebarang masalah apabila kita bentangkan nanti," katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963 membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya.
Namun akta tersebut dimansuhkan pada 1992.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini dilapor telah berjumpa Anwar bagi membincangkan usaha mengembalikan akta berkenaan.
Sementara itu dalam pertemuan itu juga Anwar mengingatkan Ahli Parlimen supaya sentiasa menitikberatkan soal akhlak ketika sedang berbahas di dalam Parlimen.
"Boleh berhujah, boleh berbeda pendapat, tetapi tak perlu biadap dan kasar, tidak ada agama yang tidak bicara soal nilai, soal akhlak tidak harus dikesampingkan dalam kita bicara soal pertumbuhan ekonomi," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu.