Kerajaan tawar ganti MyKad rosak percuma, pastikan kelancaran BUDI95
- Suara Keadilan

- Sep 23
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI mengumumkan penggantian secara percuma untuk MyKad yang mengalami masalah cip rosak.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata proses penukaran boleh dibuat bermula hari ini sehingga 7 Oktober di mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
Jelasnya, kerajaan melaksana penggantian secara percuma itu bagi memastikan rakyat terus menikmati pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95 yang bakal bermula akhir bulan ini.
"Kerajaan MADANI prihatin dengan masalah rakyat. Subsidi tidak wajar terhalang hanya kerana kerosakan teknikal pada MyKad.
"Ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi meringankan beban rakyat serta memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi BUDI95," katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan menerusi insiatif BUDI95.
Di bawah inisiatif itu, semua rakyat Malaysia dengan lesen memandu yang sah akan menikmati 300 liter RON95 bersubsidi per bulan, manakala bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Bagi bukan warganegara pula, RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Sementara itu Saifuddin memaklumkan, kerajaan akan membelanjakan RM714,660 termasuk kos sokongan lain bagi proses menggantikan MyKad yang rosak.
Justeru, beliau berharap orang ramai mengambil peluang ini untuk menukar cip MyKad yang rosak dalam tempoh ditetapkan.









Comments