
Kerajaan Madani telah menampung kos subsidi elektrik bagi pengguna domestik sebanyak RM10 bilion.
Hal itu dinyatakan dalam jawapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH - Setiawangsa) dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Khoo Poay Tiong (PH - Kota Melaka).
"Tarif elektrik disemak setiap 6 bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh 6 bulan ke belakang.
"Dalam hal ini kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 20 sen/per kilowatt jam yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini.
"Namun begitu kerajaan bersetuju mengekalkan rebat 2 sen/per kilowatt jam bagi pengguna domestik dan mengekalkan surcaj 3.7 sen / per kilowatt jam kepada pengguna bukan domestik buat pengguna voltan rendah serta kategori pertanian spesifik bagi tempoh Jan hingga Jun 2023.
"Manakala pengguna lain dikenakan surcaj 20 sen/per kilowatt jam bagi tempoh yang sama
"Dalam hal ini kerajaan telah menampung subsidi bil elektrik sebanyak RM10.76 bilion bagi 1 Jan hingga 30 Jun 2023 untuk memastikan seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99% keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik," katanya.
Menurut Nik Nazmi lagi, dengan pengenalan polisi subsidi bersasar kerajaan telah berjaya melakukan penjimatan subsidi RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga Jun 2023 di mana kos tersebut dilepaskan kepada pengguna tertentu secara bersasar.
Namun katanya, walaupun pengguna bukan domestik dalam kategori voltan sederhana dan voltan tinggi dikenakan surcaj ICPT 20 sen tetapi kerajaan masih menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion atau surcaj 7 sen / per kilowatt jam agar surcaj sebenar tidak dilepaskan kepada pengguna pengguna terlibat.
"Buat masa ini Kementerian masih meneliti opsyen pelepasan ICPT yang munasabah kepada pengguna elketrik di Semenanjung bagi 1 Julai - 31 Dis 2023
"Ini selaras fokus kerajaan bahawa pemberian subsidi secara bersasar berasaskan penggunaan elektrik mengikut kediaman bagi pengguna kategori domestik, terutama yang menggunakan pada kadar tinggi.
"Kerajaan juga sedang menimbang surcaj kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana, operator air dan sebagainya (diberi subsidi) supaya indeks pengguna dan inflasi dalam negara terkawal," katanya.
Tambah beliau, garis dasar ditetapkan kerajaan adalah untuk memastikan ekonomi kos rendah sedia ada akan menjadi ekonomi nilai tinggi dan mahu mencapai kecekapan tenaga serta penggunaan lebih banyak tenaga boleh baharu.