top of page

Selangor perkenal mekanisme baharu tangani ketirisan sektor awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor bakal memperkenal Indeks Kualiti Penyampaian Perkhidmatan sebagai mekanisme baharu bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuh tadbir urus serta menangani ketirisan sumber dalam sektor awam di negeri itu.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Selangor (RSTU) yang dirangka bagi memperkemas pelaksanaan dasar negeri serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.


Ia antara empat indikator utama di bawah RSTU bagi menilai prestasi sektor awam, selain elemen berkaitan tadbir urus dan tahap kepercayaan.


"Di bawah indeks ini, kita sedang menuju ke arah apa yang saya telah lama ingin laksanakan, iaitu model anti-ketirisan. Apabila kita bercakap mengenai peningkatan kualiti perkhidmatan, kita juga perlu melihat sisi satu lagi iaitu ketirisan.


"Kita perlu menilai sama ada sumber manusia kita mencukupi atau perlu diselaraskan bagi meningkatkan kecekapan. Ini perkara yang sedang kita perhalusi.


"Keadaannya masih terkawal, tetapi kita mahu memastikan ia ditangani dengan baik. Jika kita berjaya melaksanakannya, kita akan mempunyai gambaran lebih jelas tentang setiap tugasan, tempoh masa diperlukan serta sumber yang diperlukan," katanya dipetik.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan RSTU Ogos tahun lalu, bertujuan mereformasi pelaksanaan dasar negeri serta menyelarasnya dengan pelan kerajaan Persekutuan.


Kerangka itu merangkumi lapan fokus utama iaitu reformasi tadbir urus dan integriti, pembaharuan sistem penyampaian, penghapusan budaya silo dalam organisasi negeri, penambahbaikan sistem aduan, pembangunan masyarakat berdaya saing, pemerkasaan rakyat, kaedah penilaian kejayaan program negeri yang lebih baik serta penilaian berasaskan hasil.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page