top of page

Kerajaan T'ganu bertindak ke atas Felda, peneroka tersepit - Azan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Langkah Kerajaan Terengganu memberi notis kepada Felda mengalihkan aset dan mengosongkan premis di ladang-ladang FGV Holdings mengundang reaksi dan kritikan hebat termasuk kebimbangan terhadap nasib peneroka di negeri itu.


Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu, Azan Ismail (gambar) membidas langkah Kerajaan Negeri itu berikutan kesan buruknya kepada masa depan peneroka.


"Apa kebaikan yang Kerajaan Negeri nak buat macam itu? Kalau setakat kata nak suruh (bertegas) isu tanah, kalau semua peneroka keluar, tanah itu bukan pun boleh dibangunkan dalam masa setahun atau dua tahun, ia perlu mengambil masa.


"Lagipun tanah kosong milik Kerajaan Terengganu berlambak-lambak, beribu-ribu ekar lagi. Kenapa nak ditumpukan isu berkenaan (Felda) ini?.


"Kesan rantaiannya banyak. Soal angkut buah, soal pekerja, soal anak bersekolah dan banyak lagi rantaian masalah. Kenapa Kerajaan Negeri tak tumpukan, disebabkan isu kononnya tentang milikan tanah Felda dengan Kerajaan Negeri," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Terengganu sepatutnya meneruskan rundingan dengan Felda, misalnya mencari kesepakatan jika tanah berkenaan berpotensi menjana hasil, bukan membuat keputusan tergempar yang boleh menjejaskan rakyat biasa.


"Kesannya daripada keputusan ini akan memberi impak besar kepada sosial, masalah ekonomi keluarga peneroka, persekolahan anak-anak mereka dan banyak lagi. Kenapa perkara-perkara itu tidak diambil kira?


"Tak ada faedah pun (notis pengosongan), kecuali kalau mereka (kerajaan) nak tunjukkan mereka sangat berkuasa di negeri ini," ujarnya.


Dalam pada itu, Azan turut menjadikan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh tauladan dalam pentadbiran yang pada hematnya perlu diikuti oleh mana-mana Kerajaan Negeri yang lain.


"Demi kepentingan rakyat, untuk mengelakkan rakyat susah, tak perlulah mengambil keputusan macam itu. Tauladan dah ada, Kerajaan Pusat dah tunjuk bukti walaupun tak perlu bagi, tapi salur juga wang ihsan (kepada Terengganu).


"Sebab apa? Sebab memikirkan Kerajaan Terengganu kalau tak beri wang ihsan, muflis Kerajaan Negeri sebab hasilnya cuma 10%, lagi 90% bergantung kepada pemberian Kerajaan Pusat," katanya.


Pada 30 November lalu, FGV dilapor diberi tempoh selama tiga hari dari tarikh notis larangan menceroboh tanah ke atas 10 ladang di Terengganu yang luasnya kira-kira 15,000 hektar, untuk mengeluarkan aset boleh alih serta mengosongkan premis.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim, berkata selepas itu proses sitaan akan bermula mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan segala barang disita akan jadi milik pihak berkuasa kerajaan negeri.


Katanya, tempoh rundingan antara Kerajaan Negeri serta pengurusan Felda berhubung isu bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan 30 peratus Felda yang berlarutan sejak 40 tahun lalu sudah berakhir tanpa mencapai keputusan muktamad.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page