Kerajaan setuju model pengasingan kuasa Peguam Negara - Pendakwaraya
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwaraya secara sepenuhnya, maklum Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Jemaah Menteri hari ini telah membuat satu keputusan bersejarah selepas Kabinet berpuas hati dengan model pengasingan kuasa yang dibentangkan pagi tadi.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah membentangkan beberapa model pengasingan kuasa (antara Peguam Negara dan Pendakwaraya).
"Setelah pertimbangan rapi dibuat, kerajaan bersetuju secara dasar untuk melaksanakan pengasingan penuh, di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan ini telah diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tujuh yang disediakan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan berkata, Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
Untuk rekod pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya adalah tuntutan dasar yang diperjuangkan oleh KEADILAN, parti yang mendukung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999 lalu.
Pengasingan itu bagi meneguhkan keyakinan rakyat kepada institusi perundangan negara agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai atau mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Comments