Kerajaan serius tangani isu penderaan, pengantunan kanak-kanak
- Suara Keadilan
- Jun 3
- 1 min read

Kerajaan sedang meneliti semula peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu penderaan dan pengantunan kanak-kanak, khususnya dalam menghadapi cabaran baharu dunia digital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu bertujuan memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga agar lebih proaktif dalam melindungi anak-anak.
"Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuklah mewajibkan pemantauan terhadap tingkah laku dalam talian anak-anak serta penglibatan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.
"Ini selaras prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seksual dalam era digital," katanya menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena penyertaannya dalam Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 yang berlangsung di Uzbekistan.
Pada forum berkenaan, Azalina telah diberi penghormatan menyampaikan ucaptama bertajuk Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection pada hari pertama acara tersebut.
Menerusi ucaptamanya, Azalina menyeru komuniti perundangan antarabangsa agar memikul tanggungjawab moral bersama dalam memastikan semua individu yang terlibat dalam jenayah terhadap kanak-kanak dihadapkan ke muka pengadilan, tanpa pengecualian.
Comments