Kerajaan semak duti anti-lambakan import gegelung keluli - MITI
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan memulakan kajian semula tamat tempoh berhubung pengenaan duti anti-lambakan ke atas import gegelung keluli dipracat, dicat atau disalut warna dari China dan Vietnam.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kajian semula itu bagi menentukan sama ada langkah perlindungan itu perlu diteruskan.
Ia susulan permohonan dikemukakan CSC Steel Sdn. Bhd. yang mewakili industri tempatan, atas alasan penamatan duti anti-lambakan berisiko menyebabkan kemudaratan kepada pengeluar tempatan berterusan atau berulang.
"Selepas meneliti permohonan dan maklumat yang dikemukakan, kerajaan memutuskan untuk memulakan kajian semula selaras dengan Subseksyen 28C(6) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.
"Penentuan muktamad bagi kajian semula itu akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh permulaan penyiasatan, manakala tempoh semakan (Period of Review, POR) ditetapkan dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025," kata MITI.
Susulan itu menurut kementerian tersebut,semua penyerahan maklumat dan maklum balas soal selidik perlu dibuat secara elektronik melalui Sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan (TRIMA).
Pihak berkepentingan diminta mengemukakan pandangan bertulis, jawapan soal selidik serta bukti sokongan kepada MITI selewat-lewatnya pada 17 Ogos 2026.
"Kegagalan pihak berkepentingan mengemukakan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat yang mencukupi dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan kerajaan membuat penentuan awal dan muktamad berdasarkan fakta sedia ada mengikut Seksyen 41 Akta 504," kata kenyataan itu.




Comments