Kerajaan selaras pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman secara terancang
- Suara Keadilan

- Jan 19
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur melibatkan semua agensi dan pihak berkaitan bagi memperincikan langkah serta penyelarasan pemindahan dan pembinaan rumah ibadat berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata proses pemindahan kuil itu dilaksanakan secara terancang, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama selaras dengan pembangunan Masjid MADANI di kawasan terbabit.
Menurutnya, bagi memastikan kelangsungan amalan keagamaan penganut Hindu, kerajaan telah menyediakan tapak baharu untuk pemindahan kuil tersebut serta mempercepatkan semua kelulusan berkaitan.
"Semua kelulusan Pelan Bangunan telah diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 September 2025, diikuti pewartaan tapak baharu sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam pada 5 Disember 2025, sebelum Kebenaran Membina Bangunan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Januari 2026," katanya dalam kenyataan.
Isu pemindahan kuil ini timbul susulan pelaksanaan projek pembinaan Masjid MADANI, sebuah masjid baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebagai simbol keharmonian, kesederhanaan dan keterangkuman dalam kerangka Malaysia MADANI.
Tapak tersebut telah dibeli oleh sebuah syarikat tekstil, Jakel Group sebelum ia diwakafkan untuk pembinaan masjid.
Baru-baru ini syarikat itu mengeluarkan notis agar pihak kuil berpindah dalam tempoh tujuh hari dengan pampasan sebanyak RM1 juta namun ditolak pihak kuil.
Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa pembangunan masjid tersebut tidak mengabaikan hak penganut agama lain, sebaliknya dilaksanakan secara rundingan dan penyelesaian bersama.
Hannah berkata, mesyuarat penyelarasan yang dilakukan hari ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan aspek operasi pemindahan serta pembinaan kuil baharu dapat dilaksanakan secara teratur, selamat dan menghormati sensitiviti semua pihak.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak berkaitan, khususnya selepas sambutan Thaipusam bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar tanpa menjejaskan amalan keagamaan.
Dalam kenyataan sama, Hannah merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif atas kejayaan menyediakan tapak baharu kuil tersebut.
Penghargaan turut diberikan kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia Datui Seri Ramanan Ramakrishnan dan Tan Sri Dr SA Vigneswaran atas komitmen bersama dalam memastikan penyelesaian yang harmoni dicapai.
"Pendekatan ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, saling menghormati serta mendahulukan kepentingan bersama selaras dengan prinsip mengasihi sesama insan seperti diri sendiri," katanya.









Comments