
Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan 3 daripada 5 komitmen yang dijanjikan dalam tawaran 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Selangor sebagaimana terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Negeri lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang media selepas mesyuarat Exco petang tadi berkata janji itu akan dilaksanakan bagi tujuan meringankan beban sara hidup rakyat terutama golongan B40.
"Perkara pertama mengenai pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah. Bagi meringankan beban kewangan, kerajaan negeri akan mengecualikan cukai bagi 426,656 buah rumah kos rendah dan rumah kampung di seluruh negeri untuk tempoh penggal kedua tahun ini mulai Julai 2023 hingga 31 Disember 2023 dengan implikasi kewangan RM29.415 juta.
"Bantuan bersasar ini diharap dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. Ini adalah penerusan dasar daripada tahun sebelum ini," katanya.
Perkara kedua, katanya, berupa insentif pertanian. Insentif kepada komuniti petani dan pesawah itu dilakukan agar kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.
Kerajaan Negeri, jelas Amirudin, akan memberikan RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, penternakan, agrokultur dan industri asas tani serta nelayan yang terpilih.
Penerima akan menerima tunai sebanyak RM500, selebihnya bantuan diberikan dalam input pertanian seperti benih tanaman, peralatan dan bahan mentah yang akan diserahkan pada 31 Oktober 2023.
"Manakala ketiga, menginsafi kepentingan masjid kepada rakyat negeri Selangor, bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi sebagai pusat pengupayaan ilmu, maka Kerajaan Negeri berinisiatif meningkatkan elaun para pegawai masjid sebagai penghargaan melalui gaji progresif.
"Bermula 25 Okt, seramai 760 imam akan menerima bayaran bulanan ditingkatkan dari RM1300 ke 1500 sebulan yang akan diselaraskan Jabatan Agama Islam Selangor. Elaun bagi 1,900 nazir, bilal dan siak akan ditingkatkan RM50 kepada RM 300 nazir, RM340 bagi bilal dan RM290 untuk siak. Peningkatan insentif ini akan menambah RM2.9 juta dalam peruntukan secara tahunan
"Ada 2 perkara (janji) lagi yang akan kita laksanakan. InshaAllah saya yakin menjelang akhir bulan November kita boleh melaksanakan 2 lagi perkara, iaitu baucar buku dan program bantuan untuk wanita bekerja.
"Ini sedang diselaraskan dan kenalpasti tarikh sesuai untuk memulakan program berkenaan," katanya lagi.
Selain itu, MB juga memaklumkan mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh pada hujung tahun ini.
Katanya, Selangor akan mempunyai kaedah baharu dalam memaklumkan kepada rakyat mengenai banjir yang akan atau sedang berlaku agar persediaan lebih mudah dilakukan.
Juga, katanya, bekalan makanan akan disimpan di pengakalan hadapan untuk mengelakkan terputusnya bekalan apabila pengangkutan darat tidak dapat beroperasi sepenuhnya jika banjir terlalu besar.
Di samping itu beliau juga menugaskan beberapa Exco untuk memantau kawasan perindustrian agar mengambil langkah tertentu bagi mengelak kerugian besar ditenggelami banjir.
Comments