top of page

Kerajaan Selangor Tangani Isu Ladang Babi Secara Berhikmah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Seluruh rakyat Negeri Selangor menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap isu ladang penternakan babi di Kuala Langat. Baginda telah menyatakan perasaan kurang senang jika terdapat sebarang usaha untuk membangunkan projek perternakan babi di Negeri Selangor dalam skala yang besar untuk tujuan pasaran luar negara.


Titah Tuanku Sultan Selangor telah disambut patuh oleh Datuk Ir. Izham hashim, EXCO Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor dengan memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani Selangor akan memberi keutamaan terhadap pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan jumlah penternakan babi yang sekadar memenuhi keperluan komuniti bukan Islam.


Membangkitkan emosi rakyat


Namun disebalik pengendalian isu secara berhemah yang dilakukan oleh Kerajaan Madani Selangor, terdapat usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan dan membangkitkan emosi rakyat.

Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah antara pihak yang didakwa membangkitkan emosi rakyat dengan komentar yang tidak tepat. Beliau memberi gambaran mendakwa seolah-olah pimpinan Kerajaan Madani Selangor tidak cakna terhadap titah Tuanku Sultan Selangor.


Beliau juga mendakwa seolah-olah Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat iaitu Datuk Borhan Aman Shah selaku ADUN yang bertanggungjawab menjaga kawasan ladang penternakan babi di Kuala Langat sebagai bersetuju untuk projek tersebut diteruskan tanpa sebarang usaha penambahbaikan. Sedangkan maklumbalas Datuk Borhan Aman Shah sejak awal lagi menolak penternakan babi skala besar atau berorientasikan eksport.


Kerajaan BN Selangor cadang perkara sama


Seharusnya Jamal menginsafi kegigihan usaha Kerajaan Madani Selangor untuk mengawal jumlah dan keselamatan ladang babi semenjak tahun 2008 sehingga kini. Data menunjukkan bahawa semasa Kerajaan Barisan Nasional memerintah Negeri Selangor sebelum tahun 2008, perbincangan untuk mewujudkan sebuah projek ladang babi secara berpusat telah dilakukan.


Pada ketika itu terdapat 132 ladang ternakan babi di Negeri Selangor, majoriti ladang ini masih beroperasi secara haram. Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh KEADILAN mula mengambilalih pentadbiran selepas tahun 2008, proses untuk mendaftar ladang penternakan babi secara sah telah dimulakan sekitar tahun 2010.


Sehingga kini, Kerajaan Madani Selangor yang ditunjangi oleh KEADILAN telah berjaya mengurangkan ladang ternakan babi kepada 111 ladang. Justeru dari segi rekod terbukti pencapaian Kerajaan Madani Selangor 2026 adalah lebih cemerlang berbanding Kerajaan Barisan Nasional Selangor pra-2008.


Menggunakan data tersebut rakyat dapat menilai kesungguhan sebenar yang ditunjukkan oleh Kerajaan Madani Selangor untuk mengawal jumlah ladang penternakan babi supaya tidak menjadi skala besar. Jamal juga perlu sedar bahawa keperluan untuk mewujudkan sebuah pusat penternakan ladang babi berpusat bukanlah idea yang mula dibincangkan oleh Kerajaan Madani Selangor, Kerajaan Barisan Nasional Selangor pra-2008 juga sudah mula membincangkan isu tersebut pada tahun 2007.


Keadaan ini memberi isyarat bahawa isu untuk memusatkan ladang penternakan babi di Negeri Selangor dipersetujui oleh semua pihak, ia bukanlah isu politik yang harus ditunggang pada waktu tertentu untuk meraih sokongan rakyat.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page