Kerajaan Selangor perluas agihan Baucar Kita Selangor


Kerajaan Negeri Selangor meningkatkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 dan ke bawah.
Exco Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (gambar) berkata langkah tersebut bagi membolehkan lebih ramai keluarga menikmati manfaat inisiatif berkenaan.
"Had pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor kini dinaikkan kepada RM8,000 dan ke bawah berbanding RM5,000 sebelum ini.
"Baucar bernilai RM600 ini boleh digunakan untuk pembelian makanan, perubatan dan pendidikan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu menurut Anfaal, agihan Baucar Kita Selangor dilaksanakan secara berfasa sehingga Disember 2026..
Pemohon boleh membuat semakan kelayakan menerusi portal rasmi Baucar Kita Selangor.
Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.




Comments